Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Pembahagian kerusi Umno-Bersatu dibincang secara 'adik-beradik'

Setiausaha Agung BN, Annuar Musa, menjelaskan Perikatan Nasional (PN) akan membincangkan isu pembahagian kerusi bagi menghadapi pilihan raya umum (PRU) akan datang dalam semangat “adik-beradik”.

Hal itu ditanyakan kepada beliau ketika hubungan di antara Umno dan Bersatu dilihat agak panas apabila kedua-dua parti mempertahankan kewajaran untuk mengekalkan kerusi seperti yang ada sekarang.

Kata Annuar isu pembahagian kerusi menjelang PRU ke-15 akan diselesaikan secara dalaman.

“Kita akan terus membincangkan isu (pembahagian kerusi) macam adik-beradik,” katanya.

Annuar yang juga menteri Wilayah Persekutuan ditemui pemberita semasa menghadiri kempen Jom BB di Jalan Alor, Kuala Lumpur hari ini.

Pada 9 Julai lalu Annuar menciap dengan memberi bayangan bahawa BN itu akan mempertahankan semua kerusi tradisi yang mereka menangi pada PRU kira-kira dua tahun lalu.

Ia menghangatkan lagi polemik mengenai persediaan PN menghadapi PRU ke-15 yang mesti diadakan selewat-lewatnya pertengahan 2023.

Tak boleh sentiasa berpolitik

Ketika ini antara kerusi yang 'panas' diperkatakan ialah kawasan parlimen Mersing, membabitkan Menteri Pembangunan Luar Bandar, Dr Abdul Latiff Ahmad.

Abdul Latiff dikecam Umno kerana membuat kenyataan mendakwa parti itu kini tidak lagi 'laku' di Sabah.

Untuk rekod beliau memenangi kerusi berkenaan atas tiket Umno namun meninggalkan parti itu untuk menyertai Bersatu selepas PH berjaya membentuk kerajaan pusat dan di kebanyakan negeri.

Annuar (tengah) semasa melawat kawasan di Jalan Alor, Bukit Bintang

Abdul Latiff yang juga menteri pembangunan luar bandar sudah meminta maaf atas kenyataan tersebut.

Annuar berkata perbincangan mengenai pembahagian kerusi perlu dibuat secara tertutup bagi mengelakkan rakyat terbawa-bawa dengan politik yang melampau.

Sementara itu, Annuar yang juga merupakan anggota parlimen Ketereh berkata kerajaan perlu memberi keutamaan untuk membantu rakyat berbanding terlalu bermain politik.

“Fokus kita untuk bantu rakyat, kita kena bantu penjaja dan mereka yang memerlukan.

“Kerajaan tak boleh sentiasa main (isu) politik,” katanya lagi.

Lihat Komen
ADS