Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Shafie: SPRM, LHDN tak patut jadi alat takut-takutkan orang

WAWANCARA | Institusi kerajaan seperti SPRM dan Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) tidak boleh disalahgunakan sebagai alat politik untuk menakut-nakutkan pihak yang menentang parti pemerintah, kata Shafie Apdal.

Presiden Warisan memberitahu hal ini dalam wawancara pada Selasa ketika diminta mengulas mengenai tindakan SPRM baru-baru ini terhadap individu yang berkaitan dengan parti itu, termasuk naib presidennya, Peter Anthony.

"Ini tidak boleh menjadi amalan bagi (pentadbiran) mana pun," katanya.

"Kita perlu mengikut undang-undang. Terapkan (undang-undang) bila perlu. Dan jika didapati bersalah, maka biarkanlah.

"Tetapi kamu tidak boleh menggunakannya (badan kerajaan) sebagai alat untuk mendapatkan sokongan, untuk meyakinkan orang dengan intimidasi," tegas Shafie.

Ketua menteri Sabah itu berkata beliau juga pernah menjadi mangsa amalan tersebut, menyebut penangkapannya oleh SPRM pada tahun 2017 atas tuduhan kes rasuah yang melibatkan dana RM7.5 bilion.

Gambar fail, Shafie hadir di pejabat SPRM Sabah.

Penangkapan itu dibuat hampir dua tahun setelah selepas Shafie dipecat daripada kabinet Najib Razak pada tahun 2015, ketika beliau mencabarnya berhubung pengendalian skandal 1MDB.

"Saya juga ditahan sebelum pilihan raya, bukan kerana menerima tawaran ... tetapi kerana membantah 1MDB. Itu cukup jelas," katanya.

Malaysiakini telah menghubungi pejabat Perdana Menteri Muhyiddin Yassin, dan Ketua Pesuruhjaya SPRM, Azam Baki untuk mendapatkan penjelasan mereka.

Sementara itu, Shafie berkata Pakatan Harapan memiliki semua peluang untuk menggunakan taktik sebegitu ketika mereka berkuasa, tetapi tidak melakukannya.

Skandal 1MDB isu antarabangsa

Menurutnya, ini kerana gabungan itu percaya bahawa taktik sebegitu tidak betul.

"Kami berada di dalam kerajaan, selama dua tahun. Kami tidak melakukan apa yang mereka lakukan sekarang.

"Kami tidak menggunakan cukai pendapatan, kami tidak menggunakan tekanan," kata Shafie.

Bagaimanapun, beliau menjelaskan kes penyiasatan terhadap skandal 1MDB adalah sesuatu yang berbeza.

Shafie berkata 1MDB merupakan isu antarabangsa yang menarik perhatian bukan sahaja rakyat Malaysia, tetapi juga dunia.

"Kami tidak pernah menggunakan instrumen ini untuk menakut-nakutkan orang.

"Baiklah, saya ada peluang (ketika itu). Saya boleh saja mengarahkan orang-orang itu pergi (menyerbu) ke rumah ini atau ke rumah itu.

"Tetapi kami tidak melakukan itu. Kami hanya mahu mentadbir negara untuk rakyat."

Dakwaan serupa terhadap kerajaan PN juga pernah dibuat oleh bekas perdana menteri Dr Mahathir Mohamad.

Mahathir pada sidang media 5 Jun lalu, mendakwa PN menggunakan agensi penguatkuasaan seperti SPRM untuk memberi tekanan kepada pembangkang.

Ini selepas SPRM menangkap beberapa anggota Pemuda Bersatu yang berpihak kepada Mahathir.

Bulan lalu, naib presiden Warisan Peter Anthony, yang juga merupakan menteri pembangunan infrastruktur Sabah, dikenakan enam pertuduhan jenayah di Kota Kinabalu.

Beliau dijadualkan berhadapan lebih banyak pertuduhan di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur pada bulan yang sama, tetapi ini ditangguhkan kerana Anthony dimasukkan ke hospital disebabkan mengalami vertigo.

Pada bulan Jun juga, SPRM mengumumkan sedang mencari seorang lelaki, yang bekerja sebagai pembantu kepada pemimpin Warisan, Mohammadin Ketapi ketika beliau menjadi menteri pelancongan di bawah pentadbiran PH.

[Baca berita asal]

Lihat Komen
ADS