Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Najib: Saya kritik Shafie sejak sebelum dia jadi calon PM lagi

Bekas perdana menteri, Najib Razak menolak dakwaan beliau mensasarkan presiden Warisan, Shafie Apdal selepas dinamakan sebagai calon perdana menteri bagi Pakatan Harapan (PH).

Mengulas dakwaan Shafie yang disiar Malaysiakini,  Najib berkata beliau mengkritik ketua menteri Sabah itu mengenai pelbagai isu sebelum ini

"Tidak benar saya hanya menyasarkannya kerana dia disebut sebagai salah seorang daripada beberapa calon PM PH.

"Seperti yang diketahui oleh Malaysiakini, saya telah menulis pelbagai isu setiap hari sejak pilihan raya umum ke-14.

"Ini termasuk kritikan saya mengenai bagaimana Warisan membentuk kerajaan pintu belakang di Sabah dengan pertolongan Tun Mahathir (Mohamad) ketika Tun mengancam dan menggunakan SPRM untuk mengganggu ADUN BN Sabah, yang menyebabkan banyak pihak melompat," tambahnya dalam satu kenyataan kepada Malaysiakini.

Terdahulu hari ini, Malaysiakini memetik Shafie sebagai berkata beliau menjadi sasaran serangan Najib selepas namanya disebut sebagai calon perdana menteri daripada pembangkang.

Ini selepas Najib membocorkan dua surat rayuan yang ditulis presiden Warisan itu berhubung projek kerajaan pada tahun 2013 di media sosial.

Pada masa itu, Shafie merupakan anggota kabinet Najib sebelum disingkirkan pada tahun 2015.

Sementara itu, Najib menyenaraikan kritikannya terhadap Shafie dalam kenyataannya kepada Malaysiakini petang ini.

Ini termasuk keputusan Shafie melantik ahli Warisan sebagai pengarah Air Sabah setelah membentuk kerajaan negeri walaupun individu tersebut disiasat berhubung skandal rasuah yang melibatkan syarikat itu.

Najib berkata beliau juga mengkritik Shafie kerana mengekalkan pengarah Air Sabah itu walaupun mahkamah memutuskan bahawa pelantikan itu tidak mengikut perlembagaan.

Selain itu, Najib berkata beliau juga mengkritik pemilihan Peter Anthony sebagai menteri Sabah walaupun berdepan pendakwaan di mahkamah.

Beliau turut membangkitkan saman berkaitan penyelewengan tanah terhadap timbalan ketua menteri Sabah, Christina Liew sebanyak RM557 juta.

"Jadi tidak benar bahawa saya mensasarkannya sekarang kerana dia telah dinamakan sebagai calon PM.

"Mungkin dia tidak memperhatikan semua kritikan di atas pada masa lalu ketika dia belum disebut sebagai calon PM," tambahnya.

Lihat Komen
ADS