Tidak perlu tubuh IPCMC, kata bekas Hakim Besar Malaya
Bekas Hakim Besar Malaya, Tan Sri Anuar Zainal Abdin berpendapat Suruhanjaya Siasatan Salahlaku Polis (IPCMC) tidak perlu ditubuhkan kerana sudah terdapat banyak agensi yang mengawal disiplin polis.
Bekas Hakim Besar Malaya, Tan Sri Anuar Zainal Abdin berpendapat Suruhanjaya Siasatan Salahlaku Polis (IPCMC) tidak perlu ditubuhkan kerana sudah terdapat banyak agensi yang mengawal disiplin polis.
"Untuk apa ditubuhkan sebuah badan baru? Kita sudah ada banyak badan seumpama itu. Apa yang perlu dibuat ialah memperbaiki kelemahan badan-badan disiplin yang ada di dalam dan di luar organisasi polis," katanya dalam satu wawancara eksklusif dengan malaysiakini baru-baru ini..
Cadangan penubuhan IPCMC itu adalah 125 syor dan perakuan yang dibuat oleh Suruhanjaya Diraja Polis yang ditubuh oleh kerajaan untuk menambahbaik Pasukan Polis Diraja Malaysia (PDRM).
Bagaimanapun, cadangan tersebut dibantah oleh PDRM serta beberapa ahli Parlimen kerajaan sendiri, termasuk dari parti komponen utama Barisan Nasional (BN), Umno.
Namun pelbagai pihak, terutama parti pembangkang serta badan bukan kerajaan (NGO) mahu kerajaan menubuhkan IPCMC bagi memulihkan imej PDRM yang tercemar ekoran insiden-insiden seperti kes klip video tahanan wanita yang diarah berbogel dan melakukan ketuk ketampi serta kes suspek mati dalam tahanan polis.
"Dalam polis sendiri sudah ada bahagian disiplinnya. Di luar sana kita ada BPR (Badan Pencegah Rasuah). Kaji kelemahan badan-badan ini supaya ia boleh berfungsi dengan berkesan," tambah Anuar.
Suhakam perlu menjerit
Beliau berkata, apa yang perlu dibuat ialah badan-badan itu disusun semula dan 'dihidupkan'.
"Badan disiplin patut menjalankan siasatan, ambil tindakan..... tetapi mengapa selama ini ia tidak bertindak? Adakah kerana tak ada aduan atau sengaja tak mahu ambil tindakan?" soal Anuar.
Sementara itu, beliau yang juga bekas pesuruhjaya Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia (Suhakam) berkata badan tersebut perlu berani bersuara jika mahu menghilangkan imej 'tidak bertaring' yang dilempar kepadanya.
Hanya dengan cara itu, katanya, hasil kerja dan syor-syor Suhakam akan didengari dan dihormati.
"Suhakam tidak boleh berselindung di sebalik alasan tiada kuasa penguatkuasaan untuk menutup kelemahanannya. Tidak dinafikan ketiadaan hak penguatkuasaan mengurangkan keberkesanan peranan Suhakam, tetapi itu tidak bererti Suhakam kena membisu.
"Kalau kita tiada kuasa mendakwa, kita boleh bersuara kerana 'menjerit' sama efektifnya dengan penguatkuasaan," katanya.
Menurutnya, adalah tidak wajar anggota Suhakam sekarang menggunakan alasan ketiadaan hak penguatkuasaan untuk tidak melakukan apa-apa.
Demonstrasi di Lebuhraya Kesas
"Apabila kita memberi nasihat, mungkin orang tak dengar...kita hantar laporan mungkin orang tak peduli, tapi bila kita menjerit, orang akan beri perhatian,"ujarnya.
Anuar menegaskan, Suhakam perlu berani dan tegas mempertahankan pandangan serta pendiriannya jika mahu orang ramai meletak harapan dan yakin dengannya.
Beliau juga berpendapat Suhakam patut mengadakan siasatan awam terhadap kes-kes yang diadu kepadanya kerana terbukti siasatan awam mendatangkan kesan kepada pihak-pihak terbabit.
Ini terbukti dalam siasatan awam yang pernah saya lakukan beberapa tahun lalu terhadap insiden kekasaran polis dalam demonstrasi di Lebuhraya Kesas. Selepas siasatan awam itu, prestasi pihak polis semakin baik," ujarnya.
Menurutnya lagi, walaupun tindakan Suhakam melakukan siasatan awam itu dikritik oleh Perdana Menteri ketika itu, Tun Dr Mahathitr Mohamad kerana mendakwa Suhakam terikut-ikut dengan 'standard Barat', namun kesannya sangat baik.


Are you sure you want to delete this comment?
This action cannot be undone.