Kastam akan lelong 212 lagi kereta mewah
Jabatan Kastam Diraja Malaysia (KDRM) yang menjadi sasaran di Parlimen ketika ini, akan melelong secara tender 212 lagi buah kenderaan rampasannya pada pertengahan bulan ini peluang baik untuk rakyat Malaysia, termasuk ahli-ahli Parlimen, memiliki kenderaan mewah pada harga murah daripada harga pasaran.
Jabatan Kastam Diraja Malaysia (KDRM) yang menjadi sasaran di Parlimen ketika ini, akan melelong secara tender 212 lagi buah kenderaan rampasannya pada pertengahan bulan ini peluang baik untuk rakyat Malaysia, termasuk ahli-ahli Parlimen, memiliki kenderaan mewah pada harga murah daripada harga pasaran.
Selasa lalu, Ahli Parlimen Jasin, Datuk Mohd Said Yusof mengkritik KDRM ekoran kegagalannya membeli sebuah Mercedes Benz kerana kereta tersebut sudah diperuntukkan kepada dua pegawai kerajaan.
Berikutan itu semalam, beberapa ahli Parlimen meminta KDRM mendedahkan prosidur kenderaan rampasannya dilelong supaya mereka juga berpeluang membeli kenderaan mewah itu. Ahli Parlimen berkenaan juga bertanyakan sama ada mereka mendapat keistimewaan untuk membeli kereta rampasan KDRM.
Seorang pegawai jabatan itu yang dihubungi malaysiakini memberitahu, tender jualan kenderaan rampasan itu sedang dibuka dan mereka yang berminat boleh mengambil borang dan melihat kenderaan berkenaan mulai 10 hingga 14 Julai ini di sembilan depoh simpanan KDRM di sembilan negeri.
Pegawai itu berkata, tarikh tutup untuk membuat bidaan ialah pada 25 Julai depan.
"Sesiapa sahaja yang berminat, kecuali kakitangan KDRM boleh melihat kenderaan berkenaan yang kini tersimpan di depoh simpanan di Selangor, Pahang, Perak, Perlis, Johor, Negeri Sembilan, Pulau Pinang, Kelantan dan Kuala Lumpur," katanya.
Menurutnya, tiada sesiapa pun, termasuk kakitangan kerajaan, wakil rakyat atau menteri diberi pengecualian atau keistimewaan dalam sistem tender tersebut.
Deposit 10 peratus
Bakal pembeli boleh memeriksa kenderaan berkenaan dan membuat penilaian sendiri sebelum mengemukakan harga tender masing-masing. Antara kereta mewah yang tersenarai kali ini ialah BMW, Mercedes Benz dan Honda.
Menurut pegawai KDRM itu lagi, prosidur tender menetapkan setiap bidaan mesti disertakan dengan deposit 10 peratus daripada harga rezab yang ditetapkan bagi setiap kenderaan.
"Selepas tender ditutup, semua bidaan akan dinilai oleh sebuah jawatankuasa penilai yang dianggotai oleh wakil dari KDRM, JKR, JPJ dan MITI. Keputusan tender akan diketahui dalam tempoh dua bulan," katanya.
Bagaimanapun beliau mengingatkan, kerajaan tidak terikat untuk menerima tawaran yang tertinggi atau mana-mana tawaran.
Menurutnya, tender kenderaan rampasan ini dibuat secara telus dan mesti diiklankan terlebih dahulu di akhbar-akhbar untuk makluman orang ramai.
Semua kenderaan yang ditender adalah kenderaan lucuthak, termasuklah kenderaan mewah, kenderaan yang boleh didaftarkan semula di Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) dan/atau kenderaan yang dikelaskan sebagai besi buruk, termasuk kenderaan yang tidak boleh didaftarkan dengan JPJ.
"Kenderaan ini adalah barang rampasan yang ditahan atas pelbagai kesalahan berkaitan cukai," jelas pegawai di ibu pejabat KDRM Putrajaya itu.
Surat tawaran
Menurutnya lagi, penender yang berjaya hendaklah membuat bayaran penuh bagi kenderaan yang ditawarkan kepadanya dalam tempoh 14 hari dari tarikh menerima surat tawaran.
Jika gagal berbuat demikian, deposit tender akan dilucuthak dan Jabatan akan melupuskan kenderaan yang ditawarkannya dengan apa-apa cara yang difikirkan sesuai.
Penender yang telah membuat pembayaran hendaklah menyelesaikan pengambilan kenderaan tersebut dari premis KDRM dalam tempoh tujuh hari mulai tarikh bayaran sepenuhnya dibuat. Jika penender masih gagal mengambil lot-lot berkenaan, tawaran dianggap terbatal dan deposit tender akan dilucuthak.
Semua kenderaan dijual mengikut keadaan semasa penjualan dan penender hendaklah berpuashati dengan keadaan kenderaan ini sebelum penjualan.
"KDRM tidak menjamin keadaan, kualiti atau butir-butir mengenai kenderaan atau lain-lain barang yang hendak dijual," tambahnya.
Harga tawaran adalah harga bersih. Penender yang berjaya tidak dikenakan cukai kerajaan seperti duti eksais/duti import dan cukai jualan.
Kenderaan boleh diperiksa di tempat, tarikh dan masa seperti yang dinyatakan dalam notis tender.


Are you sure you want to delete this comment?
This action cannot be undone.