Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Sebuah sekolah di Johor wajibkan murid pakai pelitup muka
Diterbitkan:  Jul 26, 2020 11:18 PM
Dikemaskini: 10:06 PM

Sebuah sekolah Johor di sekitar kluster Covid-19 baru mengumumkan bahawa ia akan mewajibkan pemakaian topeng muka untuk semua pelajar.

SK Taman Bukit Tiram, pada satu pengumuman di Facebook, menggesa ibu bapa untuk memastikan anak-anak mereka memakai topeng muka sepanjang masa di sekolah.

Prosedur operasi standard kerajaan sekarang tidak menjadikan topeng muka wajib bagi semua pelajar di sekolah.

"Semua ibubapa diingatkan agar memastikan anak-anak wajib memakai pelitup muka sepanjang berada di sekolah," kata sekolah itu.

Inisiatif mewajibkan topeng muka ini diusahakan sendiri sekolah itu setelah Kementerian Kesihatan semalam mendedahkan kluster Bukit Tiram yang melibatkan dua pesakit Covid-19.

Kes yang direkodkan di sana sejak itu meningkat dari dua kes kepada sembilan kes hanya dalam masa sehari.

Pusat kluster ini adalah pusat keagamaan di mana dua orang bukan warganegara (Kes 8,868 dan Kes 8,869) yang bekerja di sana diuji positif untuk Covid-19.

Kedua-duanya telah mula mengalami gejala pada 15 Julai, namun tidak mendapatkan rawatan segera di mana-mana fasiliti kesihatan.

Kemudiannya mereka telah membuat saringan Covid-19 dan dikesan positif pada 24 Julai.

Kementerian Kesihatan (KKM) pada 25 Julai berkata telah mengenal pasti sepuluh orang kontak rapat daripada dua kes positif itu yang telah disaring dan masih lagi menunggu keputusan.

Hari ini, KKM mengumumkan tujuh kes lagi di gugusan Bukit Tiram, menjadikan jumlah keseluruhan kes sembilan.

SK Taman Bukit Tiram, dalam pengumumannya, juga mendorong para pelajar untuk membawa makanan dan perkakas mereka sendiri dan membatasi pergerakan mereka atau berkongsi alat tulis.

Ia juga menasihati ibu bapa supaya tidak membawa anak-anak mereka ke tempat-tempat seperti pusat membeli-belah di mana terdapat risiko yang lebih tinggi untuk dijangkiti Covid-19.

"Sekiranya anak-anak mempunyai sebarang gejala seperti demam, batuk, selesema, sesak nafas atau sakit tekak, jangan hadir ke sekolah.

"Ibu bapa atau penjaga hendaklah menyertakan surat seandainya tidak mahu menghantar anak-anak ke sekolah (jika bimbang akan keselamatan mereka di sekolah, surat hendaklah secara bertulis atau bercetak dan boleh dihantar melalui aplikasi whatsapp atau telegram guru kelas atau pondok pengawal keselamatan," kata sekolah itu dalam suatu kenyataan.


Dapatkan maklumat terkini dan perincian berkenaan penularan Covid-19 di Malaysia di laman penjejak ini.

 


Lihat Komen
ADS