Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita

Ini kerana setiausaha agung DAP belum didapati bersalah oleh mahkamah, manakala Najib telah disabitkan bersalah dalam kes seleweng dana SRC.

Presiden PKR Anwar Ibrahim berkata situasi yang dihadapi oleh Lim Guan Eng dan Najib Razak tidak boleh disamakan kerana Setiausaha Agung DAP itu belum dibuktikan bersalah di mahkamah seperti bekas perdana menteri dalam kes isu penyelewengan dana berkaitan SRC International Sdn Bhd.

Sebaliknya, beliau meminta supaya siasatan yang melibatkan Lim akan dilaksanakan tanpa sebarang motif politik atau penganiayaan.

"Berbanding dalam kes Najib, selalu saya katakan kita lihat pada fakta serta undang-undang dan bukannya politik.

"Ada orang samakan kes Guan Eng dengan kes (Najib) yang sudah dihukum berdasarkan fakta, hujah dan undang-undang," katanya ketika ucapan majlis jelajah presiden PKR ke Selangor di Shah Alam malam tadi.

Susulan daripada situasi yang dihadapi oleh Lim, beliau menyuarakan kebimbangan mengenai politik menindas.

"Saya tidak mahu prejudis tapi kita berdasarkan apa yang dibentangkan kepada kita hari ini amat merisaukan dan oleh itu parti dan PH turut bangkit sedarkan rakyat dengan tekankan politk menindas dan menekan.

“Tetapi soal ini yang lebih besar kita lalui penekanan pendakwaan terpilih,sudahlah mari kita aturkan negara ini dengan cara aman dan damai dan hentikan politik penyeksaan,” katanya.

Katanya, apa yang paling menyedihkan dan mengecewakan apabila isteri kepada Lim, Betty Chew turut ditahan pada hari sama dalam keadaan mencabar dalam sejarah hidup mereka.

"Tunggulah.. paling tidak sehari dua untuk beliau mengiringi suami," katanya.

Semalam, Lim didakwa di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur atas tuduhan meminta suapan berkaitan projek terowong bawah laut Pulau Pinang yang bernilai RM6.3 bilion itu.

Lim dituduh meminta suapan berjumlah 10 peratus daripada jumlah keuntungan yang bakal diperoleh daripada pengarah kanan eksekutif Consortium Zenith Construction Sdn Bhd Zarul Ahmad Mohd Zulkifli.

Pada masa sama, Anwar turut menyentuh isu rumah banglo milik Lim yang turut menjadi pertikaian.

"Dalam kes rumah saya pernah sebutkan secara terbuka.

"Saya lihat rumah semua menteri, semua pemimpin dulu dan sekarang.

"Dan rumah milik Guan Eng itu di antara yang sederhana, lebih rendah kategorinya daripada semua rumah-rumah yang lain," katanya.

Lihat Komen
ADS