Malaysiakini
BERITA

Faizal: 'Tak semesti berimamkan Dr M baru perjuangan diterima Allah'

Bernama

Diterbitkan
Dikemaskini 8 Ogs 2020, 12:32 tengahari

Penubuhan parti baru oleh Tun Dr Mahathir Mohamad tidak akan menggugat perjuangan parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), kata Timbalan Presiden Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu.

Beliau yang juga menteri besar Perak berkata, semangat ahli-ahli Bersatu masih kekal utuh dan setia bersama kepimpinan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin, yang terbukti mempunyai kebolehan meneraju negara.

“Saya tidak nampak hala tuju perjuangan (parti baru), kerana hari ini parti kita dah ada dalam kerajaan dan perdana menteri juga, daripada parti Bersatu sendiri.

“Kalau berkenaan perjuangan, pada saya kita nak bernaung kat mana, atas kapasiti apa pun boleh. Tak semestinya kita ‘berimamkan’ Tun Mahathir, baru perjuangan kita diterima Allah SWT. 

"Saya kira banyak pemimpin lain...Muhyiddin pun seorang imam (pemimpin) yang boleh kita ikuti,” katanya pada sidang media selepas merasmikan Persidangan Bahagian Bersatu Negeri Terengganu, di Kuala Nerus hari ini.

Turut hadir, Pengerusi Badan Pimpinan Bersatu Negeri Terengganu Datuk Razali Idris.

Bersatu T'ganu jangka 10 peratus ahli keluar parti

Bagaimanapun pada masa sama Ahmad Faizal tidak menolak kemungkinan, akan ada ahli-ahli yang keluar parti kerana ditawarkan jawatan lebih tinggi dalam parti baru, atau bekas-bekas pemimpin bahagian yang tewas dalam pemilihan parti di peringkat bahagian, yang berlangsung awal tahun ini.

“Hari ini pemimpin kita sudah diterima oleh rakyat, jadi tidak ada alasan untuk kita tinggalkan parti dan perdana menteri,” katanya yang turut menepis tohmahan bahawa Bersatu sudah tersasar daripada asas perjuangan menentang amalan kleptokrasi.

Sementara itu, Razali berkata Bersatu Terengganu menjangkakan 10 peratus daripada kira-kira 15,000 ahlinya akan keluar parti dan menyertai parti baru.

Bagaimanapun beliau menyifatkan perkara itu adalah masalah biasa dan tidak akan menjejaskan Bersatu di Terengganu.

“Saya jangka 10 peratus ahli akan keluar, tetapi bukan dalam kalangan mereka yang memegang jawatan tinggi dalam parti,” katanya.

- Bernama

Malaysiakini telah menyajikan laporan percuma dalam bahasa Melayu selama 17 tahun. Langkah ini diambil sebagai khidmat kami untuk masyarakat.

Kami berharap ia dapat membantu pembaca membuat keputusan terhadap sesuatu perkara secara bermaklumat, selain menggalakkan perbahasan serius berkaitan isu-isu melibatkan kepentingan awam.

Malaysiakini juga berharap rakyat Malaysia tidak ketinggalan dalam isu-su penting dalam negara.

Langgan Malaysiakini (versi Bahasa Inggeris) sebanyak RM20 sebulan atau RM200 setahun bagi mendukung media bebas di negara ini.

Komen

Malaysiakini tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian sidang redaksi kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.