Syed Hamid gagal yakinkan pemimpin Umno Selangor
Umno memulakan siri penerangan isu-isu semasanya semalam bermula di Selangor dengan Menteri Luar, Datuk Seri Syed Hamid Albar menjelaskan tentang keputusan pembatalan projek jambatan indah di Selat Teberau.
Umno memulakan siri penerangan isu-isu semasanya semalam bermula di Selangor dengan Menteri Luar, Datuk Seri Syed Hamid Albar menjelaskan tentang keputusan pembatalan projek jambatan indah di Selat Teberau.
Program penerangan tertutup itu diadakan di bangunan Umno Selangor, Shah Alam dengan dihadiri oleh lebih 250 ahli jawatankuasa Umno bahagian, Pemuda, Wanita dan Puteri.
Seorang pemimpin Pemuda dari Gombak yang menghadiri majlis itu memberitahu, majlis bermula pada jam 4 petang dan berlangsung selama dua jam. Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Mohamad Khir Toyo menyampaikan ucapan pembukaan sebelum Syed Hamid (foto) memulakan sesi penerangannya.
Beliau dikatakan berucap kira-kira sejam sebelum sesi soaljawab diadakan. Difahamkan, Syed Hamid awal-awal lagi mengingatkan para hadirin beliau hanya akan menjawab lima soalan sahaja.
Sumber berkenaan memberitahu, secara keseluruhannya, ahli dan pemimpin Umno yang hadir, tidak begitu puas hati dengan penerangan yang diberikan oleh Menteri Luar itu.
"Beliau lebih banyak menyalahkan Dr Mahathir dan Tun Daim Zainuddin berhubung isu rundingan dengan Singapura. Syed Hamid mendakwa, masalah jambatan indah ini berpunca pada zaman Dr Mahathir yang berbincang dengan Singapura melalui Tun Daim tanpa merujuk kepada kabinet.
"Kami tidak puas hati kerana majlis penerangan itu tidak menjelaskan beberapa isu penting yang dibangkitkan oleh Dr Mahathir," ujarnya.
Ahli tidak puashati
Menurut pemimpin Pemuda itu lagi, para hadirin mahukan jawapan yang konkrit tentang isu jambatan indah itu tetapi penerangan Syed Hamid tidak jelas dan ini tambah mengelirukan mereka.
"Bagaimana kami mahu menerangkan kepada ahli-ahli di akar umbi, kalau kami sendiri tidak puashati dan keliru. Bagi saya matlamat majlis penerangan ini tidak berjaya," katanya.
"Rasanya lebih baiklah para pemimpin pusat yang terlibat dalam majlis penerangan, tidak turun padang kalau tidak mahu bertanggungjawab dan berterus-terang. Ahli Umno sekarang bukannya bodoh," tambahnya.
Sementara itu seorang ahli jawatankuasa Umno bahagian Ampang pula memberitahu, walaupun majlis itu berjalan dalam suasana harmoni, namun Syed Hamid telah dikejutkan oleh amaran seorang ketua bahagian yang tidak puas hati dengan penerangan dan sikap beliau.
"Ketua bahagian itu telah memberi amaran tidak akan mencalonkan Syed Hamid jika beliau bertanding jawatan Majlis Tertinggi pada pemilihan akan datang," katanya.
Katanya lagi, anak Singa Umno itu turut dibidas oleh seorang wakil Wanita Umno kerana asyik menyalahkan pentadbiran lama, sedangkan beliau sendiri adalah salah seorang dari anggota kabinet di zaman Dr Mahathir.
Difahamkan Umno pusat telah mengarahkan semua badan perhubungan Umno negeri mengadakan majlis penerangan kepada pemimpin peringkat bahagian bagi memastikan pendirian kerajaan berhubung semua perkara yang dibangkitkan oleh Dr. Mahathir sampai ke peringkat akar umbi.


Are you sure you want to delete this comment?
This action cannot be undone.