Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
KPKT jamin akan bela kematian Adib sebaik mungkin

Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) akan memastikan kematian anggota bomba Allahyarham Muhammad Adib Mohd Kassim dibela sebaik mungkin.

Menurut Timbalan Menterinya, Ismail Abd Muttalib perkara tersebut telah diserahkan kepada pihak polis, namun tidak mengulas lanjut berhubung isu itu.

"Apa yang mendukakan kita adalah Adib pergi meninggalkan kita dan itu satu pengorbanan yang besar.

"Kita sudah serahkan kepada pihak polis untuk buat siasatan semula," katanya ketika sidang media selepas sambutan Hari Kebangsaan peringkat KPKT tahun 2020 di ibu pejabat Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia, Putrajaya hari ini.

Ismail berkata demikian ketika ditanya mengenai status terkini siasatan semula kes kematian Adib.

Pada 7 Ogos, Ketua Polis Negara Abdul Hamid Bador berkata PDRM mencadangkan satu inkues diadakan semula berhubung kes kematian anggota bomba tersebut.

Abdul Hamid berkata ia berikutan terdapat saksi baru yang akan tampil memberi keterangan berhubung kematian anggota bomba itu.

Bagaimanapun langkah itu dibantah keluarga Adib yang menyuarakan hasrat untuk mengambil tindakan sivil untuk menuntut ganti rugi atas dakwaan kegagalan dan kecuaian polis.

Ayahnya, Mohd Kassim Abdul Hamid juga mempersoal cadangan untuk mendakwa 12 suspek yang sebelum ini disyaki terbabit dalam kematian Adib mengikut Seksyen 143 Kanun Keseksaan yang berkaitan perhimpunan haram.

Dalam pada itu, Ismail enggan mengulas lanjut apabila ditanya adakah pihak polis ada bertemu dengan Kementerian Dalam Negeri (KDN) untuk membincangkan perkara tersebut.

"Saya tak boleh komen sebab kita tak nak campur hal-hal yang berkaitan KDN (Kementerian Dalam Negeri), polis sebab dia ada bidang masing-masing.

"Kita tak menentukan siapa yang salah, tapi penyiasatan dan juga mahkamah akan menentukan.

"Kita akan pastikan Adib dibela sebaik mungkin," katanya lagi.

Untuk rekod, Muhammad Adib, 24, yang bertugas sebagai anggota bantuan kecemasan Jabatan Bomba dan Penyelamat Subang Jaya, parah dalam rusuhan di Kuil Sri Maha Mariamman, USJ 25, Subang Jaya pada 27 Nov 2018 dan meninggal dunia di Institut Jantung Negara selepas 21 hari menerima rawatan.

Pada 27 Sept tahun lepas, Mahkamah Koroner Shah Alam memutuskan kematian Muhammad Adib, adalah akibat perbuatan jenayah yang dilakukan lebih dua atau tiga individu tidak diketahui. 

Lihat Komen
ADS