Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
'Langkah baru bergerak dari Dr M, Langkah Sheraton, politik wang Bersatu'

WAWANCARA | Rampasan kuasa politik melalui “Langkah Sheraton” dan amalan politik wang dalam Bersatu menjadi pendorong gerakan politik barunya, kata Syed Saddiq Syed Abdul Rahman.

Keengganannya menyertai mana-mana parti sedia ada ditanggapi sebagai pertaruhan jangka panjang untuk mengubah politik Malaysia melalui undi anak muda.

Bercakap kepada Malaysiakini pada wawancara baru-baru ini, bekas ketua Pemuda Bersatu itu berkongsi pengalaman dalam parti lamanya yang menunjukkan hubungan rapat antara wang dan politik.

Sebagai parti pembangkang, dana pemuda Bersatu (Armada) sebelum PRU14 datang daripada sumbangan orang ramai, katanya.

"Bagaimanapun selepas pilihan raya, apabila kami tidak mengubah budaya politik wang, ketika itulah (anda) mengadakan perbincangan (tentang bagaimana) ahli-ahli korporat ini adalah pihak yang perlu kami temui dan inilah caranya kami melakukannya.

"Ada struktur penama yang dapat diusulkan, ada struktur kontrak dan terdapat banyak perkara lain lagi,” katanya berterus-terang.

Setelah membentuk kerajaan, beliau juga menyorot bagaimana bahagian-bahagian Bersatu akan "meminta" sumbangan daripada parti itu setiap bulan.

"Tanpa sebarang perubahan yang besar (dilakukan), (keadaan) akan tidak berubah,” tambahnya.

Tiada undang-undang yang mengawal dana parti politik di Malaysia.

Tiada lagi kompromi

Menurut Syed Saddiq, rancangannya untuk platform baru itu bermula selepas kerajaan Pakatan Harapan tumbang pada Februari lalu.

Keruntuhan kerajaan berusia 22 bulan itu tercetus apabila Dr Mahathir Mohamad meletak jawatan sebagai perdana menteri dan Muhyiddin Yassin membawa Bersatu keluar dari gabungan PH dan bersekutu dengan BN, PAS, GPS, PBS dan Star.

Beliau juga ditanya sekiranya mempunyai sebarang penyesalan ketika menjadi menteri belia dan sukan, seperti menjemput Zakir Naik sebagai tamu ke kediamannya.

Ini selepas ucapan kontroversi oleh pendakwah tersebut mengenai orang India dan Cina di Malaysia.

Bagaimanapun, beliau mengelak menjawab soalan itu tetapi berkata membebaskan diri daripada politik berasaskan kaum memastikan dirinya tidak perlu lagi mengkompromikan prinsipnya "tanpa keperluan."

Sejak itu, Syed Saddiq mengumpulkan barisan profesional muda, aktivis, pengasas startups, pendakwah agama dan ahli akademik untuk membentuk "platform, gerakan atau mungkin juga parti" yang berbilang kaum.

Gerakannya yang masih baru itu juga merancang untuk melaksanakan had tempoh pemimpin memegang jawatan serta batasan terhadap penderma individu dan korporat.

“Kita tidak perlu lagi berkompromi terhadap prinsip.

"Kerana kini, akhirnya, kami memperjuangkan sesuatu yang benar-benar kami percayai," katanya.

Platform independen anak muda

Langkah terbaru Syed Saddiq ini telah menjarakkan dirinya daripada mentor politiknya Dr Mahathir.

Sejak disingkirkan daripada Bersatu, bekas perdana menteri itu menubuhkan parti yang berteraskan perjuangan hak Melayu dan antirasuah, serupa dengan Bersatu yang diasaskannya.

Syed Saddiq berkata platform politik barunya tidak sama dengan Pejuang.

"Saya akan sentiasa menghormati Mahathir tetapi saya rasa sudah tiba waktunya bagi kita untuk mencipta dan memanfaatkan semangat rakyat Malaysia yang berbilang kaum dan kepelbagaian yang ada.

"Saya sudah memaklumkannya dan pimpinan Pejuang mengenai keputusan saya untuk tidak menyertai parti tersebut dan sebab-sebabnya. Saya doakan yang terbaik untuk mereka semua,” katanya.

Platform barunya itu juga merupakan entiti yang berasingan daripada PH.

Walaupun Syed Saddiq tidak menolak kerjasama dengan PH, beliau berkata dirinya memutuskan untuk tidak mengambil jalan mudah dengan menyertai parti berbilang kaum yang ada kerana ingin "mengganggu" status quo.

"Kami ingin mewakili suara teknokrat muda, profesional, ahli akademik [...] kami tidak hanya mengehadkan kepada sayap pemuda atau sayap wanita atau sayap parti politik yang berbeza.

“Akhirnya, mereka harus didengar dalam membuat keputusan yang penting. Saya rasa (platform) ini adalah peluang unik di mana ia boleh dicapai," katanya.

Muda Malaysia tarik Undi18

Dengan beberapa wajah baru, polisi dan pendekatan politik segar, Syed Saddiq berkata platform itu bertujuan menarik 7.8 juta pengundi baru yang dibawa hasil pindaan perlembagaan Undi18.

Dikenali sebagai “Muda Malaysia” buat masa ini, beliau memberitahu Malaysiakini bahawa platform tersebut komited terhadap objektif mereka, tidak kira berapa lama masa yang diperlukan.

“Tetapi seperti yang telah terbukti pada pilihan raya lalu, kami tidak hanya memikirkan jangka pendek, tetapi kami harus mengubah hati dan pemikiran orang.

“Kami perlu meyakinkan mereka bahawa kepelbagaian budaya dan kemajmukan adalah aset, bukannya satu tanggungan (liabiliti).

"Kami perlu mendorong pembaharuan sejati dan kukuh, tidak kira seberapa sukar dan tidak popular (keputusan tersebut). Tetapi kami memerlukan orang muda dengan daya kehendak politik untuk melakukannya, untuk menggerakkan dan membuatkan orang lain memahaminya,” katanya.

Bahkan, ahli parlimen Muar itu berkata beliau bersedia untuk kehilangan kerusinya jika itu adalah harga yang perlu dibayar demi berpegang pada prinsipnya.

"Saya mungkin kehilangan kerusi saya, saya mungkin kehilangan segalanya. Saya akan belajar menerimanya,” katanya.

[Baca berita asal]


BAHAGIAN 1: Rancangan Syed Saddiq: 'Pecahkan' amalan lama politik Malaysia

Lihat Komen
ADS