Malaysiakini
BERITA

'Muhyiddin wajah kempen GRS': Adakah dia nak jadi KM Sabah - Lasimbang

Diterbitkan
Dikemaskini 22 Sep 2020, 3:01 petang

PRN SABAH | Ketika Pengerusi PN Muhyiddin Yassin berusaha memperkukuh barisan bersatu Gabungan Rakyat Sabah, calon Warisan Plus Kepayan menyentuh wajah presiden Bersatu itu yang menjadi bahan kempen pilihan raya GRS.

"Adakah Muhyiddin, yang berasal dari Johor itu yang bertanding sebagai ketua menteri Sabah? Kenapa wajah beliau ada di mana-mana," soalnya pada satu kenyataan hari ini.

Lasimbang membandingkan hal itu dengan situasi Warisan Plus, yang telah menamakan Presiden Warisan Shafie Apdal sebagai calon tunggal ketua menteri Sabah jika gabungan itu berjaya memenangi pilihan raya negeri.

"Tetapi Perikatan Nasional dan Barisan Nasional tidak dapat mencapai kata sepakat mengenai calon - Perikatan Nasional mahukan Hajiji Mohd Noor sementara BN mahukan Bung Moktar Radin.

"Kedua-duanya bahkan tidak dapat bertentang mata ketika kempen," dakwanya.

Manfaat hubungan baik Sabah-Putrajaya

Parti-parti dalam GRS bertembung sesama sendiri di 17 kerusi dan kebanyakan kempen tiga komponen utamanya - BN, PN, dan PBS - dilakukan secara berasingan.

PN telah berulang kali menonjolkan Muhyiddin sebagai pemimpin mereka dengan mesej seputar manfaat daripada menjaga hubungan baik antara Sabah dan Putrajaya.

Bagaimanapun, BN sebaliknya menyebut Bung bakal menjadi ketua menteri, manakala PBS menggunakan identiti sebagai satu-satunya parti Sabah dalam GRS.

Sementara itu, Lasimbang (gambar, atas) mengkritik PN dan BN kerana tidak mempunyai dasar untuk pembangunan Sabah dan hanya dapat menggunakan pendekatan memberi 'lobak dan rotan' (ganjaran dan hukuman).

"Muhyiddin berkata, Kuala Lumpur hanya dapat membantu Sabah setakat yang diwajibkan di bawah Perlembagaan Persekutuan jika Sabah tidak diperintah oleh gabungan politik yang sama dengan kerajaan pusat.

“Bagaimanapun, kenyataan seperti itu tidak berbeza dengan pemikiran lapuk penjajah tanpa menghormati maruah dan hak orang Sabah.

"Kenapa rakyat Sabah perlu tunduk kepada PN/ BN yang berpusat di Kuala Lumpur untuk mendapatkan dana pembangunan yang memang hak mereka," soalnya.

[Baca berita penuh]

Mulai 15 Oktober 2020, Malaysiakini versi BM memperkenalkan sistem komen baru yang lebih baik.

Untuk berhubung secara telus dan bertanggungjawab dengan pengulas lain, pembaca BM kini perlu menjadi pelanggan berbayar. Anda dapat mengakses kandungan semua bahasa dan menulis komen di semua platform Malaysiakini.

Bersatu sokong media bebas.