Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Muhyiddin rayu rakyat tolak tindakan politik 'membuta tuli'
Diterbitkan:  Sep 23, 2020 4:01 PM
Dikemaskini: 8:01 AM

Perdana Menteri Muhyiddin Yassin merayu rakyat Malaysia agar menolak tindakan membuta tuli segelintir ahli politik yang didakwanya sengaja mahu menjejaskan kestabilan politik serta pelan pemulihan ekonomi negara.

Anggota Parlimen Pagoh itu juga mengajak supaya semua pihak bersama dengannya serta "rakan-rakan" dalam kerajaan Perikatan Nasional untuk mengemudi negara dalam keadaan masih berhadapan dengan krisis ekonomi dan kesihatan susulan pandemik Covid-19.

"Apa yang perlu ialah sebuah kerajaan yang stabil dan teguh dengan sokongan dan dukungan saudara dan saudari sekalian.

"Ini penting supaya lebih banyak inisiatif untuk memulihkan ekonomi dan membantu rakyat jelata dapat dilaksanakan dengan berkesan oleh kerajaan.

"Saya merayu saudara dan saudari sekalian supaya menolak tindakan membuta tuli segelintir ahli politik yang sengaja mahu menjejaskan kestabilan politik dan pelan pemulihan ekonomi negara yang sedang dilaksanakan dengan baik pada masa ini," katanya pada sidang media khas, di Putrajaya, hari ini.

Sidang media berkenaan diadakan untuk mengumumkan pakej baru Bantuan Prihatin Nasional 2.0 yang disediakan untuk membantu orang ramai yang terjejas dengan Covid-19.

Ia diadakan hanya beberapa jam selepas Presiden PKR Anwar Ibrahim mengumumkan dia mempunyai sokongan majoriti yang kukuh untuk membentuk kerajaan persekutuan yang baru dan mendakwa kerajaan PN sudah tumbang. 

Susulan itu juga Presiden Umno Ahmad Zahid Hamidi dalam kenyataannya menjelaskan ramai anggota parlimen Umno menyatakan sokongan kepada Anwar.

"Umno dan BN tidak dapat menghalang ahli-ahli parlimen yang mengambil keputusan untuk menyokong YB Datuk Seri Anwar Ibrahim yang berhasrat untuk mengadap KDYMM Yang di-Pertuan Agong bagi menyatakan hasrat beliau sebagaimana dimaklumi.

"Saya dimaklumkan ramai ahli-ahli parlimen Umno dan BN yang telah menyatakan sokongan. Saya menghormati pendirian ahli-ahli parlimen berkenaan," katanya seperti dilaporkan Malaysiakini, hari ini. 

Sementara itu Muhyiddin yang juga presiden Bersatu berkata, pengumuman yang dibuatnya pada hari ini menandakan kerajaan PN mendengar rintihan rakyat.

"Kita cuba sedaya upaya untuk membantu rakyat menghadapi detik yang sukar ini.

"Insya-Allah, kita boleh melakar masa depan yang lebih baik dari semalam. Saya yakin dan percaya kepada kekuatan semangat kita sebagai rakyat Malaysia," katanya yang menjadi perdana menteri sejak Februari lalu.

Lihat Komen
ADS