Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Demokrasi benarkan beri sokongan, tapi parti mesti kawal - Tuan Ibrahim
Diterbitkan:  Sep 23, 2020 10:01 PM
Dikemaskini: 2:02 PM

PAS mengakui dalam demokrasi seseorang itu berhak menyatakan sokongan mereka kepada mana-mana pihak namun pada masa sama parti pula mesti mengawal ahli parlimen masing-masing.

Timbalan Presiden PAS Tuan Ibrahim Tuan Man berkata dalam keadaan begitu parti berkenaan kekal memberikan sokongan kepada kerajaan Perikatan Nasional (PN) yang dipimpin Muhyiddin Yassin.

"Dalam demokrasi itu (beri sokongan kepada PKR) hak masing-masing tapi bagi kita (PAS), parti bertanggungjawab mengawal ahli-ahli parlimen bagi memastikan ahli parlimen kita mendukung kerajaan PN.

"Saya bercakap dalam konteks PAS bahawa kita kekal dengan kerajaan PN,"katanya seperti dipetik portal Sinar Harian hari ini.

Tuan Ibrahim yang juga Anggota Parlimen Kubang Kerian berkata demikian susulan kenyataan Presiden PKR Anwar Ibrahim yang mendakwa mempunyai majoriti kukuh dalam kalangan ahli parlimen untuk membentuk kerajaan baru.

Namun, Anwar belum mendedahkan jumlah anggota parlimen yang memihak kepadanya kerana mahu mempersembahkan ia kepada Yang di-Pertuan Agong terlebih dahulu.

“Jumlahnya (sokongan) kukuh dan meyakinkan, jauh daripada majoriti kecil, bukan, empat, lima atau enam (kerusi) tetapi majoriti,” kata Anwar. 

Susulan pengumuman Anwar, Presiden Umno Ahmad Zahid Hamidi memberikan isyarat bahawa memang ramai anggota parlimen Umno menyatakan sokongan kepada Anwar.

"Umno dan BN tidak dapat menghalang ahli-ahli parlimen yang mengambil keputusan untuk menyokong YB Datuk Seri Anwar Ibrahim yang berhasrat untuk mengadap KDYMM Yang di-Pertuan Agong bagi menyatakan hasrat beliau sebagaimana dimaklumi.

"Saya dimaklumkan ramai ahli-ahli parlimen Umno dan BN yang telah menyatakan sokongan.

"Saya menghormati pendirian ahli-ahli parlimen berkenaan," katanya. 

Sementara itu, Tuan Ibrahim turut mengulangi pendirian PAS untuk kekal teguh menyokong kerajaan PN dan tidak timbul soal mahu menyokong parti lain.

"Bagi PAS, jelas kita menyokong kerajaan PN dan tidak timbul soal untuk kita menyeberangi atau menyokong yang lain," katanya.

Lihat Komen
ADS