Malaysiakini
BERITA

'Kami dah lama tahu langkah Anwar raih sokongan MP'

Diterbitkan
Dikemaskini 25 Sep 2020, 6:38 pagi

Bagi beberapa wakil rakyat Selangor, mereka sudah lama mengetahui langkah Presiden PKR Anwar Ibrahim untuk membentuk kerajaan baru

Sudah mengetahui perkara tersebut sebulan lalu, Speaker Dewan Undangan Negeri Selangor Ng Suee Lim, turut menambah Anwar telah berusaha sehabis mungkin untuk meraih sokongan.

“Cakap-cakap (Anwar tubuh kerajaan baru) telah didengari sejak bulan lalu dan saya tahu Anwar telah berusaha sehabis mungkin untuk mendapatkan sokongan bagi membentuk kerajaan seterusnya,” kata Ng seperi dipetik laporan The Star.

Ng turut percaya pendedahan Anwar mempunyai asas dan bukti kukuh. Ini juga selepas pemimpin partinya, Setiausaha Agung DAP Lim Guan Eng, turut menyokong tindakan anggota parlimen Port Dickson itu.

Jelasnya, rakyat kini perlu memerhatikan keadaan dan melihat mandat dikembalikan.

“Sekarang, apa yang kita perlu buat adalah perhati dan bersedia untuk melihat mandat dikembalikan kepada rakyat,” katanya.

Anggota Parlimen PKR Kapar, Abdullah Sani Abdul Hamid juga berasa yakin Anwar dapat membentuk kerajaan persekutuan tidak lama lagi dan mendapat sokongan kukuh daripada wakil rakyat Perikatan Nasional (PN) yang juga inginkan perubahahan.

Kelmarin, Anwar mengadakan sidang media untuk mengumumkan beliau memiliki majoriti kukuh bagi membentuk kerajaan baru selepas sejumlah ahli parlimen pelbagai parti menyokongnya menjadi perdana menteri..

Ia kemudian diikuti dengan kenyataan Presiden Umno, Ahmad Zahid Hamidi, yang mengesahkan "ramai" ahli parlimen partinya kini bersama-sama Anwar dan beliau tidak dapat menghalangnya.

Bagaimanapun, seorang demi seorang ahli parlimen Umno tampil menafikan mereka menyertai kumpulan Anwar setakat ini.

Jumlah sokongan yang diperolehi Anwar masih menjadi misteri. Ini kerana, presiden PKR itu berkata, beliau ingin mempersembahkan jumlah itu kepada Yang Di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah terlebih dahulu.

Sementara itu, Adun Sentosa, Gunaraj George berharap selepas Yang di-Pertuan Agong pulih daripada gering, baginda akan mempercepatkan pembentukan kerajaan baru selepas Anwar diberi perkenan untuk menghadap.

Sementara itu, Adun Tanjong Sepat Borhan Aman Shah isunya sekarang adalah untuk menunggu Anwar mendapatkan perkenan Yang di-Pertuan Agong menghadap bagi menyatakan jumlah sokongan yang diperoleh.

“Isu sekarang adalah Anwar masih belum dapat perkenan Agong,” katanya.

Ketua Pembangkang Umno Selangor, Rizam Ismail pula berkata, Anwar sewajarnya mengikuti platform yang betul jika benar mempunyai jumlah sokongan kukuh.

Mulai 15 Oktober 2020, Malaysiakini versi BM memperkenalkan sistem komen baru yang lebih baik.

Untuk berhubung secara telus dan bertanggungjawab dengan pengulas lain, pembaca BM kini perlu menjadi pelanggan berbayar. Anda dapat mengakses kandungan semua bahasa dan menulis komen di semua platform Malaysiakini.

Bersatu sokong media bebas.