Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Dr M: Saya atur pengampunan Anwar, tapi dia tak sokong saya
Diterbitkan:  Oct 1, 2020 2:35 PM
Dikemaskini: 7:46 AM

Bekas perdana menteri Dr Mahathir Mohamad berkata beliau tidak menerima sokongan Anwar Ibrahim walaupun telah mengaturkan pembebasan pemimpin PKR itu dari penjara dan pengampunan diraja.

"Selepas, saya mengaturkan pembebasan beliau dan pengampunan diraja, dia tidak nak sokong saya.

"Dia pusing jumpa semua orang. Jumpa raja-raja, jumpa orang asing, bukan sokong saya. Dia kritikal terhadap saya," kata Mahathir dalam satu wawancara bersama Malaysia Gazette.

Mahathir mempunyai hubungan tegang dengan Anwar sejak tahun 1990-an tetapi bertukar sekutu dalam gabungan Pakatan Harapan pada pilihan raya 2018.

Setelah PH memenangi pilihan raya, Mahathir mengotakan janjinya dengan mengaturkan pengampunan diraja kepada Anwar atas tuduhan meliwat.

Tidak lama kemudian, Anwar kembali ke parlimen dan hubungan mereka kembali dingin ekoran desakan terhadap rancangan penggantian jawatan perdana menteri.

Akhirnya, Anwar setuju untuk tidak menetapkan tarikh bagi Mahathir melepaskan jawatan, tetapi ia sudah terlambat kerana "Langkah Sheraton" dan kerajaan PH runtuh.

Mahathir berkata bahawa beliau membawa Anwar seorang aktivis Islam yang lantang pada tahun 1970-an, menyertai Umno pada tahun 1982 walaupun mendapat tentangan besar ahli parti lain.

Ketika bersama Umno selama 16 tahun, Anwar pernah menjadi timbalan perdana menteri pada tahun 1993.

"Tapi, bila dia menjadi timbalan perdana menteri, dia cuba menjatuhkan saya," kata Mahathir.

'Zahid kroni Anwar'

Mahathir mendakwa Anwar cuba menumbangkan beliau melalui proksi dan mencetuskan himpunan dan protes.

Beliau juga menuduh Anwar membantu kroninya mengumpulkan kekayaan yang luar biasa dan secara khusus mendakwa salah seorang kroni Anwar itu ialah Ahmad Zahid Hamidi yang sekarang menerajui Umno.

"Itu cara Anwar," kata Mahathir.

Beliau juga mengulas mengenai pengumuman terbaru Anwar yang berkata mempunyai sokongan majoriti untuk menubuhkan kerajaan.

Mahathir berkata beliau pernah mendengarnya sebelum ini dan tidak pasti apakah Anwar akan berjaya kali ini.

Jelasnya lagi, beliau yakin bahawa Perdana Menteri Muhyiddin Yassin berada dalam kedudukan yang tidak menentu.

"Saya dapati kenyataan Anwar ini, kalau benar dua tiga orang Umno tolak Muhyiddin, dia jatuh.

"Soal Muhyiddin jatuh satu perkara, soal siapa sokong Anwar adalah perkara lain," kata Mahathir.

Pada 23 September lalu, Anwar buat kali ketiga dalam kerjaya politiknya menyatakan bahawa beliau mempunyai sokongan majoriti untuk menubuhkan kerajaan tetapi tiada sebarang perkembangan selepas itu.

Setakat semalam, Muhyiddin maish mempengerusikan mesyuarat kabinet kerajaan PN.

Lihat Komen
ADS