Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
PBS: Tiada asas GRS lantik wakil PAS sertai kabinet Sabah
Diterbitkan:  Oct 2, 2020 9:14 PM
Dikemaskini: 1:14 PM

Tiada asas bagi Gabungan Rakyat Sabah (GRS) untuk mempertimbangkan pelantikan wakil pemimpin mereka seperti PAS untuk menganggotai kabinet atau Dewan Undangan Negeri (DUN) itu, kata Presiden Parti Bersatu Sabah (PBS) Maximus Johnity Ongkili.

Katanya, ini kerana PAS tidak bertanding dan tidak memenangi apa-apa kerusi DUN dalam pilihan raya negeri (PRN) Sabah, Sabtu lalu.

Maximus berkata pandangan itu juga telah disuarakan kepada Perdana Menteri, Muhyiddin Yassin dan Ketua Menteri Sabah, Hajiji Noor baru-baru ini.

Oleh itu, katanya kerajaan perlu mengambil berat kebimbangan masyarakat Sabah dan sekali gus mempertimbangkan implikasi dari segi perundangan serta politik akibat dari cadangan tersebut.

"Memandangkan parti (PAS) itu tidak bertanding dan tidak memenangi apa-apa kerusi DUN dalam pilihan raya negeri yang lalu, pada pendapat kami, tiada asas bagi GRS untuk mempertimbangkan perlantikan Adun dari PAS.

"Saya yakin ketua menteri akan mempertimbangkan semua perkara ini, termasuk mengambil kira kebimbangan dan perkara sensitif dari pelbagai sudut agama di Sabah.

“Bagi PBS, pandangan kami adalah mudah - patuhi undang-undang. Amalkan prinsip menghormati kepercayaan masing-masing dan menggalakkan keamanan dan perpaduan di antara rakyat pelbagai kaum, walaupun mempunyai perbezaan kepercayaan agama, budaya, dan bahkan fahaman politik," kata Ongkili dalam satu kenyataan.

PBS bukan anggota gabungan PN tetapi "rakan kongsi" dalam Gabungan Rakyat Sabah (GRS) ketika menghadapi PRN baru-baru ini.

PAS, sebaliknya, secara rasmi menjadi anggota gabungan PN.

Selepas pilihan raya Sabah pada 26 September, kerajaan GRS dibentuk, yang terdiri daripada BN, PN dan PBS.

PBS tidak dimaklumkan

Setiausaha Agung BN, Annuar Musa semalam mencadangkan kerajaan baru negeri di bawah bayu itu melantik wakil PAS untuk menganggotai kabinet atau menjadi Adun lantikan Sabah.

Annuar berkata beliau percaya sekurang-kurangnya seorang wakil PAS akan mengisi satu dari enam anggota Dewan Undangan Negeri (Adun) yang dilantik.

Ciri yang unik bagi perlembagaan Sabah ialah Yang di-Pertuan Negeri dapat melantik hingga enam anggota DUN yang tidak terpilih atas cadangan kerajaan negeri.

Presiden dan timbalan ketua menteri Parti Solidariti Tanah Airku (Star) Jeffrey Kitingan membantah cadangan itu, manakala ketua penerangan PAS Selangor, Roslan Shahir Mohd Shahir berkata rakyat Sabah kini mempunyai "hak" untuk "menerima" wakil PAS yang tidak terpilih.

Semalam, Timbalan Presiden PAS Tuan Ibrahim Tuan Man pula berkata cadangan berkenaan sebenarnya telah pun dipersetujui oleh semua parti dalam gabungan GRS yang terdiri daripada PN dan BN.

Setiausaha Agung PAS Takiyuddin Hassan pula menjelaskan parti itu "akan terus berperanan dalam politik Sabah" dan memiliki ahli bukan Islam di negeri itu.

Menurut Maximus yang juga Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Sabah dan Sarawak), walaupun cadangan mengenai pelantikan itu sekadar spekulatif, namun katanya belum ada sebarang pengesahan mengenai keputusan kedudukan PAS dalam pentadbiran negeri Sabah dari ketua menteri atau GRS.

"Walaupun PBS adalah rakan kongsi di dalam GRS, kami tidak terlibat dalam apa-apa perbincangan berkenaan peranan PAS dalam kerjasama politik, samada dalam kerajaan atau sebaliknya.

“Perbincangan tersebut adalah di luar kawalan PBS, dan diadakan di antara Bersatu dan BN.

"Walaupun begitu, PBS mengikuti perkembangan mengenai kemungkinan PAS akan menyertai pentadbiran politik negeri melalui media massa dan sosial," katanya.

[Baca laporan asal]

Lihat Komen
ADS