Tiada lagi individu yang hadir di mesyuarat Majlis Keselamatan Negara (MKN) yang dipengerusikan Perdana Menteri Muhyiddin Yassin pada 3 Oktober lalu yang dikenal pasti positif Covid-19.

Perkara itu disahkan Ketua Pengarah Kesihatan Dr Noor Hisham Abdullah dalam sidang media maya hari ini.

"Setakat 11 Oktober, semua yang hadir di mesyuarat 3 Oktober telah disahkan negatif," katanya menjawab soalan yang dihantar media.

Timbul kebimbangan tercetusnya kluster baru memandangkan mesyuarat itu turut dihadiri Menteri di Jabatan Perdana Menteri Dr Zulkifli Mohamad yang dijangkiti wabak itu.

Selepas perkembangan itu, Muhyiddin berkata semua kontak rapat, termasuk menteri yang hadir di mesyuarat itu, telah diarahkan menjalani kuarantin 14 hari bermula 3 Oktober serta memakai gelang pengawasan.

Antara mereka yang hadir adalah sejumlah timbalan menteri dan Noor Hisham sendiri yang kini sedang menjalani kuarantin di rumah.

Sebelum ini, kakitangan Universiti Sains Islam Malaysia (Usim) di Nilai, Negeri Sembilan yang menjadi kontak rapat Zulkifli turut disahkan negatif.