Paling Popular
Terkini

ULASAN l Malaysia unik dalam sistem pemerintahannya. Sebagai sebuah demokrasi dalam kerangka raja berperlembagaan, peranan institusi raja kekal terutama dalam menentukan dan melantik perdana menteri.

Dinamika politik di kalangan rakyat walau suhu membahang sekalipun akan ditentukan nasibnya oleh institusi istana apabila ia sampai ke sempadan garisan untuk menentukan kepimpinan negara dan pentadbirannya. Dalam keadaan biasa, pakej menentukan perdana menteri dan kerajaan berlaku serentak sejurus keputusan pilihan raya umum (PRU) diisytiharkan.

Parti yang memiliki majoriti akan mencalonkan nama untuk diperkenankan dan dilantik oleh Yang di-Pertuan Agong sebagai perdana menteri penggal baru. Urusannya tidaklah rumit dan bersifat straight forward.

Selesai kerja istana, rakyat pun kembali dengan urusan mereka dan ahli politik akan pulang ke gelanggang untuk berpencak sehingga giliran PRU seterusnya.

Namun pasca 13 Oktober lalu tidak boleh difahami dalam bentuk lazimnya di peringkat kerajaan persekutuan. Sejak Feb 2020 melalui 'Langkah Sheraton' kelaziman itu dicabar apabila kerajaan yang mendapat mandat rakyat ditukar dengan kerajaan dan kepimpinan baru tanpa PRU.

Ketika itu peranan istana muncul untuk menjalankan fungsinya secara undang-undang bagi memutuskan krisis politik yang berlaku. Peranan Yang di-Pertuan Agong ialah membuat pengesahan mengikut proses ditetapkan tentang benarkah ada majoriti bagi yang mendakwa dan siapa yang layak akan jadi perdana menteri?

Beza Mahathir dan Muhyiddin

Pasca 13 Oktober adalah rentetan tragedi Februari lalu yang menyaksikan pergelutan pihak yang dirampas menuntut kembali haknya dengan menggunakan kewajaran hak perundangan yang sama.

Presiden PKR, Anwar Ibrahim mendakwa memiliki majoriti, dan dirinya dicalon sebagai perdana menteri dipersetujui dari kalangan majoriti. Bezanya Muhyiddin Yassin tidak meletakkan jawatan hari ini tetapi Dr Mahathir Mohamad telah meletakkan jawatan dalam krisis tragedi Februari.

Menentukan kesahihan majoriti dan calon perdana menteri secara berperundangan bukanlah tugas rakyat mahupun pihak yang bergelut, ia adalah tugas raja yang sangat kritikal untuk meneruskan perjalanan negara.

Sudah tentu verifikasi dakwaan ada prosesnya, kaedahnya dan ada teknikalnya dan taktikalnya.

Rakyat tidak terlibat dalam proses tersebut walaupun gegak gempita komen-komen yang dibuat di luar istana. Sementara hingar-bingar suhu politik di luar meningkat, istana sibuk memastikan perjalanan undang-undang mengikut lunas-lunas yang telah ditetapkan.

Memang benar prosesnya bahawa setiap dakwaan perlu dibuktikan. Anwar telah melalui semua kaedahnya dari medan luar istana. Anwar konsisten ada majoriti kukuh sejak 23 Sept lalu dan pada 13 Oktober selesai mengadap, dia memetik bilangannya iaitu 120 ahli parlimen.

Kesahihan dakwaan Anwar

Kita dapat lihat peningkatan isi sidang media Anwar dari dakwaan wujud kepada jumlah bilangan. Dari sudut itu Anwar telah menunjukkan kesahihan dakwaannya.

Dia juga telah mengadap ke bawah Duli Tuanku dengan persediaan rapi majoriti yang didakwanya. Semua telah dijelaskan dalam sidang media jam 2 petang, 13 Oktober.

Adapun apa sahaja yang datang dari kenyataan istana, itu adalah atas kuasa perlembagaan yang ada padanya selain wewenang Tuanku dan kebijaksanaan Seri Paduka untuk membuat apa sahaja respons demi kepentingan suara rakyat di luar istana.

Minggu ini pasca 13 Oktober adalah hari-hari yang sibuk di balik tembok istana kerana proses verifikasi yang akan menentukan keputusan Baginda Tuanku sedang berjalan. Dari luar, kita hanya nampak ketua-ketua parti akan keluar masuk istana memenuhi kehendak teknikal undang-undang dan taktikal pihak istana.

Senarai nama sokongan kepada Anwar dari kalangan wakil rakyat akan dipersembahkan melalui ketua parti masing-masing dan bukan dari ketua pembangkang itu.

Sementara itu, lensa rakyat marhaein tidak terelak dari membuat spekulasi panas khususnya yang terkini iaitu ancaman Umno ke atas Perikatan Nasional (PN) untuk menarik sokongan kepada Muhyiddin melainkan presiden Bersatu itu menerima syarat-syarat baru bertulis.

Pastinya apa yang berlaku memanaskan lagi suhu politik dengan spekulasi 'nakal' dan tentunya akan memberikan kesan kepada kesibukan tugas yang perlu dibereskan oleh pihak istana.

Anwar dan pemimpin Pakatan Harapan (PH) menasihati agar semua rakyat tenang dan berikan kepercayaan kepada Yang di-Pertuan Agong untuk memutuskan situasi dengan tepat dan bijaksana demi kepentingan rakyat.

Mari kita relaks seketika sementara institusi raja kita sedang bertugas.

Shhh... Raja kita sedang bekerja!


DATUK SERI DR MUJAHID YUSOF adalah ahli parlimen Parit Buntar dan naib presiden, Amanah.

Tulisan ini tidak semestinya mencerminkan pendirian Malaysiakini.

Lihat Komen
ADS