Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
'Rakyat dah berkorban, kini giliran menteri dan wakil rakyat'
Diterbitkan:  Oct 26, 2020 3:05 PM
Dikemaskini: 7:07 AM

Melihat kepada pengorbanan rakyat ketika negara dilanda ancaman Covid-19, Presiden Warisan Mohd Shafie Apdal berkata sudah tiba masanya menteri dan ahli parlimen pula perlu berusaha untuk memulihkan keadaan itu.

Dia berkata demikian bagi menyokong titah Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Sultan Ahmad Shah yang tidak menerima permintaan Perdana Menteri Muhyiddin Yassin agar mengisytiharkan darurat di negara ini.

Menyanjung titah Al-Sultan Abdullah agar semua pemimpin politik bekerjasama demi memastikan negara dapat memerangi wabak Covid-19 yang menyusahkan rakyat Mohd Shafie berkata Warisan kekal dengan pendirian sebelum ini dengan menganggap keruntuhan ekonomi domestik hanya dapat diatasi jika semua pemimpin menolak fahaman politik, agama dan bangsa masing-masing untuk mencari jalan penyelesaian bersama.

“Rakyat telah melakukan pengorbanan di saat-saat sukar ini. Maka tiba masanya semua menteri dan wakil rakyat turut berkorban dengan memberi sumbangan kepada usaha-usaha menghadapi tempoh yang sangat mencabar ini," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Bekas ketua menteri Sabah itu berkata Warisan menghargai setiap sumbangan rakyat Malaysia mematuhi arahan kerajaan sejak wabak Covid-19 melanda.

Semalam Agong bertitah tiada keperluan untuk negara ini diisytiharkan darurat selepas baginda memperhalusi permohonan Muhyiddin yang dipersembahkan pada Jumaat.


Baca PN susun strategi baru lepas gagal dapat perkenan Agong


Walaupun cadangan itu dibuat dengan alasan memudahkan negara menangani wabak Covid-19, sesetengah pihak pula berpendapat ia lebih kepada usaha menyelamatkan Muhyiddin dan kerajaan Perikatan Nasional ketika tahap sokongan yang diterima perdana menteri itu semakin diragui.

Terdapat juga ura-ura bahawa Muhyiddin berhasrat untuk meletakkan jawatan namun pegawainya menafikan khabar tersebut. 

Mohd Shafie juga menggesa komuniti perniagaan untuk bekerjasama dengan kerajaan bagi memberi cadangan demi memulihkan keadaan yang banyak terjejas akibat Covid-19.

“Semasa berdepan wabak Covid-19, komuniti perniagaan menjadi antara pihak yang terjejas teruk, malah terpaksa menanggung kerugian tinggi kerana perniagaan terjejas.

“Justeru, Warisan turut menyeru komuniti perniagaan ini tampil bekerjasama bersama kerajaan untuk memastikan satu langkah mutlak dapat diambil demi kebaikan bersama.

“Komuniti perniagaan sudah tentu mempunyai idea dan cadangan yang boleh diutarakan kepada kerajaan tentang bagaimana masalah yang timbul dapat diatasi,” katanya lagi.

Lihat Komen
ADS