Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Muhyiddin perlu bekerjasama secara gentleman dengan semua parti

Penganalisis politik berpendapat Muhyiddin Yassin perlu mengadakan kerjasama yang gentleman bersama semua ketua parti politik terutamanya yang menyokong Presiden PKR Anwar Ibrahim.

Langkah itu, kata mereka, boleh memudahkan perdana menteri meraih sokongan majoriti dalam pembentangan Belanjawan 2021 di Dewan Rakyat Nov ini.

Menurut Prof Rusdi Omar dari Universiti Utara Malaysia, Muhyiddin dan pasukannya dalam Bersatu hanya perlu menumpukan perhatian seperti biasa dalam menjalankan tugas tanpa terlalu bermain politik kerana ia hanya akan memburukkan keadaan semasa.

“Muhyiddin perlu lihat ke depan. Kerajaan Muhyiddin tak perlu terlampau memikirkan hal politik, (sebab) apabila fikirkan sangat pasal politik, itu yang dia buat cadangan nak adakan darurat.

“Sekarang ini langkah terbaik ialah, teruskan apa yang dah ada, selesaikan masalah Covid-19 dan nak teruskan itu mesti ada kerjasama yang gentleman dengan pembangkang,” katanya kepada Malaysiakini hari ini.

Mengulas mengenai tindakan Muhyiddin selepas cadangannya melaksanakan perintah darurat ditolak oleh Yang di-Pertuan Agong, Rusdi mengakui ia merupakan tamparan hebat buat ahli parlimen Pagoh terbabit.

Pun begitu dia tetap yakin Muhyiddin tidak akan mengundurkan diri begitu sahaja.

Guna kesempatan yang ada

“Sebenarnya saya pasti apabila berlaku pembentangna belanjawan ia boleh diluluskan parlimen sebab ia akan memberi kesan kepada negara dan rakyat. Ia akan libatkan semua lapisan masyarakat.

“Nak tak nak, ahli parlimen kena menyokong keputusan pembentangan belanjawan tu. Sebab itu sudah pun dititahkan Agong. Isu sekarang ni ialah macam mana Muhyiddin nak pengaruhi dan dapat sokongan daripada pihak pembangkang,” katanya.

Dewan Rakyat dijadualkan bersidang pada 2 Nov ini manakala Belanjawan 2021 akan dibentangkan pada 6 Nov dengan tarikh pengundian sama ada ia diluluskan atau tidak berlangsung pada 17 Nov.

Felo penyelidik dari Ilham Centre, Dr Hamidin Hamid, turut senada dengan Rusdi kerana berpendapat langkah terbaik untuk Muhyiddin ketika ini ialah menumpukan tugasannya kepada negara.

Bagaimanapun katanya Muhyiddin akan menggunakan titah Al-Sultan Abdullah Sultan Ahmad Shah pada Jumaat lalu bagi menunjukkan dia mendapat kepercayaan daripada baginda untuk mengendalikan negara.

“Muhyiddin akan menggunakan kesempatan yang ada untuk mendapatkan sokongan bagi meluluskan belanjawan, sekali gus membuktikan dia masih lagi mempunyai majoriti.

“Dia akan menggunakan titah Agong yang menyatakan kepercayaan baginda kepada kerajaan untuk menangani Covid-19 sebagai landasan mengambil kaedah dan langkah baru bagi mengekalkan kerajaan Perikatan Nasional,” katanya.

Telah beri mandat

Namun, Hamidin berkata amat sukar bagi Muhyiddin mengambil keputusan memecat mana-mana ahli kabinetnya kerana mencadangkan pelaksanaan darurat kerana mereka dilihat sebagai tulang belakang presiden Bersatu itu sekarang.

Terdahulu, anggota Majlis Tertinggi Umno Mohd Puad Zarkashi mendakwa pertemuan di kediaman Muhyiddin di Bukit Damansara malam semalam menyaksikan suasana beremosi apabila pemimpin Bersatu dipercayai menyalahkan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri Azmin Ali dan Menteri Dalam Negeri Hamzah Zainuddin berhubung cadangan tersebut. 

Sementara itu, Prof Azmi Hassan dari Universiti Teknologi Malaysia berkata sebagai seorang ketua, Muhyiddin tidak boleh menuding jari kepada mana-mana pihak, sebaliknya perlu bertanggungjawab atas segala keputusannya.

“Saya jangkakan Muhyiddin dan kabinet akan terus mentadbir negara dan saya lihat keadaan akan menjadi lebih tenang jika kumpulan yang menekan Muhyiddin supaya letak jawatan menghayati titah Agong supaya kurangkan political maneuvering dan menumpu kepada usaha membantu kerajaan mengurus pandemik.

“Agong telah beri mandat kepada Muhyiddin untuk teruskan usaha perangi pandemik dengan perundangan sedia ada.

“Itu adalah manifestasi keyakinan Agong terhadap kebolehan dan kewibawaan Muhyiddin," katanya.

Untuk rekod, sebelum ini terdapat desakan daripada banyak pihak termasuk Umno sendiri agar Muhyiddin meletak jawatan kerana dikatakan telah hilang sokongan majoriti.

Namun, Azmi menjelaskan tindakan tersebut akan tidak menemukan jalan penyelesaian kerana sekiranya berlaku, negara akan kembali ke era peletakan jawatan Dr Mahathir Mohamad pada Mac lalu.

PN baru-baru ini bercadang untuk mengisytiharkan darurat, yang dikatakan bagi memerangi wabak Covid-19.

Bagaimanapun pengkritik mendakwa langkah itu dilakukan bagi menyelamatkan kedudukan Muhyiddin sebagai perdana menteri menjelang pembentangan Belanjawan 2021 di parlimen.

Semalam Al-Sultan Abdullah bertitah tiada keperluan untuk mengisytiharkan darurat di Malaysia buat masa ini dan mengingatkan ahli-ahli politik supaya menghentikan segera politiking yang boleh mengganggu kestabilan negara, selain menegaskan bahawa Belanjawan 2021 amat penting bagi kesejahteraan rakyat

Lihat Komen
ADS