Pemuda Umno Pulau Pinang mahu penggiliran Ketua Menteri
Pemuda Umno Pulau Pinang akan membawa usul penggiliran Ketua Menteri dalam mesyuarat peringkat bahagian Umno negeri itu.
Pemuda Umno Pulau Pinang akan membawa usul penggiliran Ketua Menteri dalam mesyuarat peringkat bahagian Umno negeri itu.
Sumber-sumber Umno negeri itu berkata, sekurang-kurangnya 10 daripada 13 pergerakan Pemuda Umno bahagian telah sepakat untuk membentangkan usul tersebut dalam mesyuarat masing-masing minggu depan, sebelum membawanya ke mesyuarat bahagian.
"Pemuda Umno Pulau Pinang merasakan sudah tiba masanya jawatan Ketua Menteri digilirkan antara parti komponen Barisan Nasional yang mempunyai jumlah kerusi terbanyak dalam Dewan Undangan Negeri (DUN)," ujar sumber berkenaan.
Beliau menekankan, Umno yang menguasai 14 daripada 40 kerusi DUN wajar diberi peluang menjawat jawatan tersebut.
Baki kerusi DUN Pulau Pinang dikuasai oleh Gerakan (13 kerusi), MCA (9), MIC (2) manakala DAP dan PAS masing-masing satu kerusi.
Umno memenangi 14 daripada 15 kerusi yang ditandinginya dalam pilihanraya umum 2004. Gerakan memenangi kesemua 13 kerusi yang ditandinginya, MCA pula tewas satu daripada 10 kerusi yang diperuntukkan kepadanya dan MIC menkedua-dua kerusinya.
Umno terkuat
Sumber berkenaan menambah, usul tersebut dijangka diterima oleh semua mesyuarat bahagian dan akan dibawa pula oleh badan perhubungan Umno negeri ke perhimpunan agung Umno.
Mesyuarat Umno bahagian bermula semalam dan akan berlangsung hingga 10 September. Pergerakan Pemuda bahagian negeri itu akan mula bermesyuarat pada 12 Ogos ini.
Menurut sumber itu lagi, ini adalah kali pertama usul penggiliran Ketua Menteri akan dibawa ke perhimpunan agung Umno.
"Ini adalah hasrat ahli-ahli akar umbi Umno. Kami merasakan tindakan ini adalah wajar kerana Umno merupakan komponen BN yang paling kuat di negeri ini. Umno Pulau Pinang menunjukkan prestasi yang sangat baik dalam pilihanraya umum lalu berbanding MCA dan Gerakan," ujarnya.
Menurut sumber itu, ahli-ahli Umno negeri berharap, dengan membawa isu penggiliran Ketua Menteri ini menerusi saluran parti dan diperbahaskan dalam perhimpunan agung Umno, pucuk pimpinan BN akan memberi perhatian kepada hasrat orang Melayu Pulau Pinang.
"Ini bukan isu baru...selepas pilihanraya dulupun sudah ada desakan supaya tokoh Umno dilantik mengetuai kerajaan negeri tetapi cadangan itu ditolak oleh Tun Dr Mahathir Mohamad.
"Kita harap kerajaan BN yang diketuai oleh Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi sekarang akan menimbangkan usul ini secara serius," tambahnya.


Are you sure you want to delete this comment?
This action cannot be undone.