Isu murtad dan kes Lina Joy adalah antara tiga usul yang akan dibahaskan dalam mesyuarat Pemuda Umno bahagian Gopeng di Perak esok.

Menurut Ketua Pemuda bahagian berkenaan, Hang Tuah Din, Pemuda Umno Gopeng memandang serius gejala murtad kebelakangan ini dan melihat perbicaraan kes Lina Joy di Mahkamah Persekutuan sebagai suatu yang amat penting.

"Pemuda Gopeng akan mengusulkan kepada kerajaan supaya mengawal gejala murtad dan percubaan kumpulan tertentu untuk mencampuri urusan agama Islam ini," katanya ketika dihubungi malaysiakini hari ini.

Kes Lina Joy atau nama sebenarnya Azalina Jailani yang sedang dibicarakan di Mahkamah Persekutuan itu berkaitan tuntutannya untuk membatalkan perkataan 'Islam' dalam kad pengenalan MyKadnya.

Perbicaraan kes Lina Joy yang telah memeluk agama Kristian kerana berkahwin dengan lelaki bukan Islam, sedang menunggu keputusan mahkamah berkenaan.

Isu murtad dan kes Lina Joy ini termasuk di bawah isu agama dan dijangka diterima sebulat suara untuk dibawa ke mesyuarat bahagian pada 27 Ogos ini. Isu lain yang akan di bawa ialah usul politik dan pendidikan.

Menurut Hang Tuah, isu politik yang akan dibahaskan pula berkaitan masalah kepimpinan dalam parti.

Isu pendidikan

"Bagaimanapun kami tidak akan menyentuh tentang krisis antara Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi dan Tun Dr Mahathir Mohamad," jelasnya.

Isu pendidikan pula, katanya, membabitkan masa depan sekolah kebangsaan yang antara lain menyentuh isu bahasa dan pengajaran mata pelajaran agama.

Mesyuarat Pemuda Umno Gopeng ini akan dirasmikan oleh Exco Pemuda Umno, Datuk Mukhriz Mahathir bertempat di Hotel Seri Malaysia Ipoh malam esok.

Sementara itu sumber-sumber memberitahu, Pemuda Umno Gopeng adalah antara Pemuda bahagian yang mencalonkan Mukhriz bagi jawatan Naib Ketua Pemuda Umno dalam pemilihan tahun 2004.

Bagaimanapun anak Dr Mahathir itu menolak pencalonan tersebut dan hanya bertanding jawatan Exco Pemuda dan berjaya meraih undi tertinggi.

Umno bahagian Gopeng diketuai oleh Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah, Datuk Abdul Aziz Shamsuddin, salah seorang daripada orang kepercayaan Dr Mahathir ketika menjadi Perdana Menteri dahulu.