Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Putrajaya tak perlu keluar dana jamin pinjaman projek LRT P Pinang
Diterbitkan:  Nov 29, 2020 6:06 PM
Dikemaskini: 10:06 AM

Bekas menteri kewangan Lim Guan Eng meminta penggantinya, Tengku Zafrul Abdul Aziz agar menimbang semula keputusan kerajaan untuk membatalkan jaminan terhadap pinjaman RM2 bilion untuk projek LRT Pulau Pinang.

Lim yang juga bekas ketua menteri Pulau Pinang, berkata negeri itu mampu membayar pinjaman untuk projek itu dan maka kerajaan persekutuan tidak perlu mengeluarkan sebarang dana.

Katanya, pinjaman itu akan diberikan Bank Pembangunan Asia (ADB), sebuah institusi berwibawa yang memberi pinjaman untuk projek infrastruktur di seluruh dunia.

"ADB hanya akan memberi pinjaman untuk projek seperti pengangkutan dan komunikasi sekiranya penilaian terperinci mereka membuktikan peminjam mampu membayar balik hutang tersebut.

"Diharapkan Zafrul boleh menimbang semula keputusan membatalkan jaminan kepada ADB, berdasarkan prestasi kewangan dan kemampuan membayar oleh kerajaan negeri.

"Ini kerana kerajaan persekutuan akhirnya tidak perlu membayar hutang ini kerana ia memang mampu dibayar penuh oleh kerajaan negeri," katanya dalam kenyataan.

Dalam jawapan parlimennya, Zafrul berkata kerajaan persekutuan membuat keputusan itu tidak akan memberi jaminan terhadap pinjaman itu, selaras dengan semakan unjuran hasil dan pendapatan negara pada masa ini.

"Sebarang pinjaman baru dengan jaminan kerajaan perlu diteliti sebaik mungkin kerana ia akan meningkatkan contingent liability kerajaan. Peningkatan contingent liability yang tidak dikawal boleh meningkatkan risiko fiskal dan menjejaskan penarafan kredit Malaysia oleh agensi penarafan antarabangsa," katanya.

Bagaimanapun, Lim menyifatkan keputusan itu sebagai tindakan "politik balas dendam" kepada Pulau Pinang yang ditadbir pembangkang.

Dia juga membangkitkan ketika Zafrul menjadi CEO CIMB pada 2018 yang meluluskan pinjaman berjumlah RM1.5 bilion kepada syarikat milik kerajaan nengeri, Penang Development Corporation (PDC).

"Mengapa Zafrul (ketika itu) boleh luluskan pinjaman RM1.5 bilion terus kepada PDC pada 2018, tetapi sebagai Menteri Kewangan enggan luluskan jaminan RM2 bilion kepada kerajaan negeri Pulau Pinang?

"Sehingga kini PDC tidak bermasalah membayar balik pinjaman RM1.5 bilion secara ansuran ini kepada CIMB," katanya lagi.

Lihat Komen
ADS