Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
story images
story images

Presiden Umno Ahmad Zahid Hamidi mengadap Sultan Perak Sultan Nazrin Shah di Istana Kinta, Ipoh hari ini.

Ahli Parlimen Bagan Datuk itu dilihat masuk ke perkarangan istana pada pukul 9.48 pagi tadi.

Ia selepas mesyuarat Umno peringkat negeri semalam. Semua pemimpin yang ditemui pemberita semalam mengunci mulut berkenaan calon menteri besar mereka.

Bagaimanapun sumber memberitahu Malaysiakini bahawa tiga nama sedang dipertimbangkan iaitu, Pengerusi Umno Perak Saarani Mohamad, bekas menteri besar Zambry Kadir dan Adun Rungkup Shahrul Zaman Yahya.

Semalam, PH Perak dan Saarani mengadap Sultan Nazrin tetapi media diberitahu ketika itu belum ada calon menteri besar baru bagi menggantikan Ahmad Faizal Azumu.

Faizal gagal mendapat sokongan majoriti Adun dalam usul undi percaya yang dibentangkan di sidang DUN pada 4 Disember lalu.

Usul dibawa Abd Manaf Hashim (Umno-Pengkalan Baru) itu hanya disokong 10 Adun manakala 48 orang lagi menolaknya dan seorang berkecuali.

Belum pasti sama ada Umno mempunyai bilangan yang cukup untuk membentuk kerajaan negeri. Parti itu memegang 25 kerusi DUN, kurang lima kerusi daripada jumlah minimum yang diperlukan.

Bersatu memiliki lima kerusi manakala PAS - yang mengatakan tidak akan menyertai usaha membentuk kerajaan negeri baru - memiliki tiga kerusi.

Jika Umno gagal mendapat cukup sokongan daripada Umno dan PAS, parti itu perlu mendapatkan sokongan pembangkang negeri, iaitu PH, yang memiliki 24 kerusi DUN.

Lihat Komen
ADS