Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
'Perkahwinan PH-Umno' jika benar khianati rakyat - Adun PKR
Diterbitkan:  Dec 7, 2020 1:52 PM
Dikemaskini: 5:57 AM

Kemungkinan kerjasama antara DAP, PKR, Amanah dan Umno untuk membentuk kerajaan negeri baru, jika berlaku, hanya akan mengecewakan rakyat khususnya penyokong Pakatan Harapan, kata wakil rakyat PKR Machap Jaya, Ginie Lim.

Bingung dengan usul gabungan itu, Lim menegaskan kerjasama itu tidak berdasarkan prinsip dan polisi, tetapi untuk memenuhi kepentingan peribadi atas nama kestabilan politik dan rakyat.

"Cadangan ini akan mengecewakan penyokong PH dan rakyat kerana mandat rakyat dalam PRU ke-14 pada tahun 2018 adalah menolak kerajaan kleptokrat yang dipimpin oleh Barisan Nasional-Umno di bawah Najib Razak ketika itu.

"Maka adalah menjadi satu pengkhianatan kepada mandat rakyat jika PH bekerjasama semula dengan Umno dan memberi nafas baru kepada parti yang telahpun ditolak oleh rakyat," kata Lim pada satu kenyataan.

Pengerusi PKR Perak, Farhash Wafa Salvador Rizal Mubarak mengesahkan dia telah berbincang dengan pemimpin Umno mengenai kemungkinan pembentukan kerajaan negeri yang baru.

Bagaimanapun, katanya kemungkinan kerjasama itu hanya akan dibuat sebagai blok dengan rakan PH lain, DAP dan Amanah.

DAP Perak telah memberi 'lampu hijau' berkata kerjasama dengan Umno "demi kepentingan rakyat" untuk membentuk kerajaan yang berbilang kaum, kuat dan stabil.

Presiden Umno Ahmad Zahidi Hamidi mengesahkan parti itu telah berbincang dengan semua pihak mengenai pembentukan pakatan baru.

Krisis Perak tercetus setelah bekas menteri besar Ahmad Faizal Azumu gagal dalam undian usul percaya yang dibawa Umno pada sidang DUN Jumaat lalu.

Berikutan itu, Faizal dan barisan exconya mengundurkan diri.

Lim memberi amaran gabungan sebegitu tidak akan bertahan lama kerana ia cuma "perkahwinan politik".

"Politik tanpa prinsip akan sentiasa penuh dengan tipu muslihat dan ketidakpercayaan.

"Akhirnya yang dikejar semata-mata jawatan dan kuasa di atas nama kestabilan kerajaan dan kebaikan rakyat.

"Sekiranya inilah yang dikejar, apakah perjuangan reformasi lebih dua dekad ini suatu yang sia-sia," soalnya.

Lihat Komen
ADS