Malaysiakini
BERITA

Belanjawan 2021 lulus dengan majoriti tiga undi

Diterbitkan
Dikemaskini 15 Dis 2020, 10:04 pagi

Dewan Rakyat hari ini meluluskan Rang Undang-undang Perbekalan 2021 selepas bacaan ketiga.

Ia dijalankan melalui undi belah bahagi selepas bacaan kali ketiga oleh Menteri Kewangan Tengku Zafrul Abdul Aziz yang menyaksikan 111 ahli parlimen menyokong, dan 108 MP menentang, dengan seorang lagi tidak hadir.

Terdahulu, cubaan ahli parlimen blok pembangkang untuk menggagalkan rang undang-undang tersebut ketika selesai penggulungan peringkat jawatankuasa, juga tidak berhasil.

Ia menyaksikan keputusan sama iaitu 111-108, dengan satu ahli parlimen tidak hadir.

Ahli Parlimen yang tidak hadir itu dipercayai adalah Tengku Razaleigh Hamzah (BN-Gua Musang).

Rang Undang-Undang Perbekalan 2021 itu melalui tempoh 10 hari perbahasan dan penggulungan oleh setiap kementerian di peringkat jawatankuasa selepas diluluskan di peringkat dasar pada 26 November lalu.

Pada peringkat jawatankuasa, sembilan kementerian berdepan proses undi belah bahagian sebelum diluluskan iaitu Kementerian Kewangan; Kementerian Perusahaan Perladangan dan Komoditi; Kementerian Wilayah Persekutuan; dan Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri.

Turut melalui proses undi belah bahagian ialah Jabatan Perdana Menteri; Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya; Kementerian Pengangkutan; Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan; serta Kementerian Komunikasi dan Multimedia.

Rang undang-undang Perbekalan itu kini akan dibentangkan di Dewan Negara untuk dibahaskan dan diundi.

Dewan Rakyat kini mempunyai 220 anggota berikutan kematian dua Ahli Parlimen (Gerik dan Batu Sapi). Oleh itu, 111 undi adalah diperlukan untuk majoriti mudah.

Awal hari ini, Dewan Rakyat juga meluluskan peruntukkan Kementerian Pendidikan, dan Kementerian Pendidikan Tinggi dengan undi suara.

Persidangan Dewan Rakyat bersambung esok.


 



Beri pendapat anda!

Jadi pelanggan Malaysiakini untuk menjadi pengulas berita. Anda dapat mengakses kandungan semua bahasa dan menulis komen di semua platform Malaysiakini.

Bersatu sokong media bebas.