Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
JKNS sahkan 50 kakitangan hospital di Klang dijangkiti Covid-19

Jabatan Kesihatan Negeri Selangor (JKNS) mengesahkan, terdapat 50 kakitangan dan beberapa pesakit di Hospital Tengku Ampuan Rahimah (Htar), Klang disahkan positif wabak Covid-19.

Malaysiakini sebelum ini melaporkan, terdapat sekurang-kurangnya 40 kakitangan dan 50 pesakit di hospital terbabit dijangkiti wabak Covid-19.

Pengarah JKNS, Dr Sha'ari Ngadiman menjelaskan punca jangkitan masih belum diketahui namun situasi di hospital terbabit terkawal.

“Siasatan oleh pasukan dari JKNS dan Htar tidak dapat mengenalpasti punca jangkitan petugas kesihatan berkenaan sama ada berlaku sebelum pesakit dimasukkan ke dalam hospital ataupun semasa pesakit berada dalam tempoh inkubasi iaitu selama 14 hari.

“Namun keadaan adalah terkawal. Kesemua kontak telah diambil swab ujian dan diletakkan di bawah Home Surveillance Order (HSO),” katanya dalam satu kenyataan media hari ini.

Dr Sha’ari Ngadiman 

Malaysiakini juga difahamkan terdapat wakil kementerian kesihatan Malaysia (KKM) menghadiri taklimat berhubung kemungkinan berlaku penularan di hospital itu hari ini.

Sebelum ini, sumber hospital mendedahkan kepada Malaysiakini, terdapat lebih 40 kakitangan Htar -termasuk doktor, jururawat dan pembantu perubatan- serta 50 pesakit positif Covid-19 sejak tiga minggu lalu.

Jelas sumber, perkara itu turut berlaku di beberapa hospital awam di Selangor.

Wad sesak

Bagaimanapun, masih tidak jelas adakah jangkitan itu berlaku di hospital atau pesakit sudah terkesan dengan wabak tersebut sebelum ke hospital terbabit.

Hospital berdekatan Htar seperti Hospital Shah Alam, Hospital Tanjung Karang dan Hospital Banting belum lagi mengalami penularan sama seperti di Htar, jelas sumber.

Sumber turut mendakwa, penularan dalam Htar kemungkinan berlaku disebabkan keadaan wad yang sesak.

Htar mempunyai 1,094 katil dan menerima pesakit paling ramai antara semua hospital awam di Selangor, tidak termasuk Pusat Perubatan Universiti Malaya.

Tahun lalu, kerajaan memperuntukkan dana bagi menaik taraf wad dan fasiliti perubatan di Htar.

Ini bukan kali pertama Htar mengalami penularan Covid-19.

Pada Mac lalu, dilaporkan terdapat beberapa jangkitan di Htar sehingga menyebabkan hospital terbabit mengehadkan waktu lawatan dan tidak membenarkan kanak-kanak bawah 12 tahun kecuali pesakit masuk.

Langkah pencegahan itu juga dilaksanakan oleh semua hospital awam bagi membendung penularan Covid-19.

Klang kini merupakan daerah paling banyak kes Covid-19 susulan kebanyakan kluster dalam kilang di kawasan perindustrian.

Malah, kes tersebut bukan hanya membabitkan pekerja kilang namun kini merebak ke penduduk setempat di kawasan berdekatan.

Kerajaan Selangor melakukan ujian saringan Covid-19 secara percuma buat penduduk berdekatan kawasan kilang di Jalan Teratai, Meru.

Kluster Teratai, yang kebanyakan terdiri dari pekerja kilang syarikat pembuatan sarung tangan Top Glove merekodkan sebanyak 5,000 kes.

Malaysiakini sebelum ini melaporkan jangkitan di kalangan kakitangan Hospital Queen Elizabeth II di Kota Kinabalu Sabah, Hospital Sentosa di Kuching Sarawak dan Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM) di Kubang Kerian Kelantan.

Kelmarin, terdapat seorang jururawat di HUSM meninggal dunia selepas dijangkiti wabak Covid-19.


Dapatkan maklumat terkini dan perincian berkenaan penularan Covid-19 di Malaysia di laman penjejak ini.

 

Lihat Komen
ADS