Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Noor Hisham jelaskan penularan di kalangan petugas di hospital Klang, Serdang

Pengarah Kesihatan Dr Noor Hisham Abdullah mengingatkan petugas kesihatan supaya mengambil berat dalam soal pematuhan prosedur operasi standard (SOP), selepas ratusan dijangkiti Covid-19 ketika menjalankan tugas.

Setakat 18 Disember, 280 petugas barisan hadapan di bahagian perubatan dijangkiti virus tersebut, manakala 1,697 orang telah diarahkan kuarantin selepas menjadii kontak rapat dengan kes positif.

Ketika sidang media petang tadi, Noor Hisham memberitahu yang petugas kesihatan di Hospital Tengku Ampuan Rahimah (HTAR) di Klang, Selangor dijangkiti virus tersebut melalui dua kluster iaitu kluster Batu Sembilan dan kluster Yayasan.

“Apabila ada jangkitan, mereka yang ada gejala sepatutnya tak datang ke hospital atau ambil cuti.

“Tapi ada yang dijangkiti, yang ada gejala masih datang ke hospital. Ada yang tak pakai pelitup muka contohnya…jadi jangkitan berlaku di hospital.

“Jadi ini peringatan kita kepada setiap individu dan petugas kesihatan - pastikan kita patuh kepada SOP,” katanya.

Dia berkata HTAR merekodkan 10 kes berkaitan kluster Batu Sembilan. Ia dikenal pasti selepas virus tersebut menular dari komuniti ke Jabatan Dietetik dan Sajian (Unit Sajian) hospital terbabit.

Sehingga 12 tengah hari ini, kluster tersebut mempunyai dua kes aktif manakala baki 22 kes telah discaj.

Sebanyak 60 jangkitan di HTAR dikaitkan dengan kluster Yayasan. Ia merebak selepas seorang petugas kesihatan dijangkiti Covid-19 daripada seorang pesakit haemodialisis dan ia menular di kalangan petugas lain.

Sehingga jam 12 tengah hari ini, kluster tersebut mempunyai 101 kes, dengan 82 masih aktif manakala 17 telah discaj. Kluster itu merekodkan dua kematian.

HTAR tidak termasuk antara hospital yang merawat pesakit Covid-19. Ia kini merekodkan 122 kes.

Kes Hospital Serdang

Noor Hisham turut memaklumkan bahawa petugas di Hospital Serdang di Selangor dijangkiti selepas mempunyai kontak dengan seorang pesakit warga emas dari pusat jagaan warga emas.

Penularan di hospital itu - yang juga tidak merawat kes Covid-19 - berkaitan dengan kluster Lestari.

Sehingga jam 12 tengah hari ini, kluster tersebut mencatatkan tiga kes baru.

Daripada 56 kes daripada kluster itu, 31 daripadanya masih aktif dan 25 telah discaj.

80 petugas Hospital Sungai Buloh dijangkiti

Sementara itu, Hospital Sungai Buloh yang menjadi antara hospital utama merawat kes Covid-19 telah merekodkan 80 kes di kalangan petugas kesihatan.

Noor Hisham bagaimanapun tidak memaklumkan perincian penularan jangkitan tersebut.

Namun, dia menyebut tentang kluster Impian, yang melibatkan 17 kes dari daerah Gombak dan Petaling. Dua daripadanya masih aktif dan 15 pesakit telah discaj.

Malaysiakini telah bertanya mengenai kaitan antara penularan di Hospital Sungai Buloh dengan kluster Impian. 

Lihat Komen
ADS