Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Rafidah: SPRM perlu siasat dakwaan Prasarana tahan bayaran pada firma LRT3

Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) perlu menyiasat dakwaan cubaan melantik subkontraktor baru bagi projek LRT 3 yang kini sedang berjalan, kata bekas menteri, Rafidah Aziz.

Mengulas laporan Malaysiakini mengenai tindakan pemilik projek LRT3, Prasarana Malaysia Bhd menahan bayaran kepada kontraktor turnkey MRCB-George Kent, Rafidah berkata tuduhan berkenaan, termasuk terhadap pengerusi syarikat Tajuddin Abdul Rahman mesti disiasat kerana isu itu melibatkan dana awam.

"Terdapat aduan mengenai menahan pembayaran. Juga pelantikan subkontraktor baru.

"Ini seperti tersasar, bahkan menyimpang dari ketelusan mengenai pelantikan tersebut," katanya kepada Malaysiakini.

"Tuduhan ini juga kini menjadi pengetahuan umum. Ia perlu diteliti kerana melibatkan dana awam. Entiti yang paling sesuai untuk menyiasat adalah SPRM," kata Pengerusi AirAsia X itu.

Terdahulu, Malaysiakini memetik sumber yang arif mengenai perkara itu sebagai berkata Tajuddin telah memberikan tekanan apabila dia mahu terlibat dalam keputusan pelantikan MRCB-George Kent sebagai subkontraktor bagi projek LRT3.

Pemimpin Umno itu dilantik sebagai Pengerusi Prasarana pada Mei lalu.

Sumber berkata bayaran terakhir sebanyak RM280 juta dibuat kepada MRCB-George Kent pada 3 Oktober, namun hanya untuk kerja yang dilakukan sehingga bulan Jun.

Sehingga berita ini ditulis, Tajuddin masih belum memberikan sebarang respons kepada pertanyaan Malaysiakini.

Prasarana juga enggan mengulas mengenai laporan Malaysiakini hari ini.

Kekangan kewangan menyebabkan syarikat-syarikat terlibat memohon bantuan kerajaan untuk mendapatkan pembayaran tertunggak Prasarana kepada MRCB-George Kent, yang dianggar mencecah RM1 bilion.

Awal bulan ini, The Malaysian Reserve melaporkan bahawa Prasarana menuntut lebih banyak suara dalam pelantikan subkontraktor, tetapi permintaan itu ditolak oleh MRCB-George Kent, yang mengakibatkan pembayaran ditangguhkan.

Prasarana sebelum ini enggan mengulas laporan The Edge yang mempersoalkan kepemimpinan dan arah tuju syarikat itu sejak pelantikan Tajuddin sebagai pengerusinya.

Lihat Komen
ADS