Tidak ada sebab mengapa Dr Asyraf Wajdi Dusuki meminta maaf kepada Bersatu ekoran dakwaan dibuatnya, kata Ketua Penerangan Umno Shahril Hamdan hari ini.

Kata Shahril isu Bersatu mengambil ahli Umno memang sudah jelas dan dapat dilihat daripada beberapa keadaan termasuk jumlah ahli parti dan wakil rakyat sekarang.

"Tidak ada sebab untuk Asyraf mohon maaf kerana soal Bersatu mengambil ahli Umno ini sudah jelas.

"Kalau lihat di parlimen, berapa peratus ahli parlimen Bersatu yang datang dari Umno?

"Kalau lihat di peringkat bahagian, berapa ramai pimpinan bahagian yang datang dari Umno?" katanya dalam satu kenyataan petang ini.

Terdahulu Ketua Penerangan Bersatu Wan Saiful Wan Jan mendesak Asyraf Wajdi selaku ketua Pemuda Umno memohon maaf kerana mendakwa ahli parti terbabit 'dibeli'.

Menafikan dakwaan Asyraf Wajdi, Wan Saiful berkata pihaknya memandang serius "tuduhan liar tanpa bukti" berkenaan dan meminta ia ditarik serta-merta.

Kata pengerusi Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) itu lagi tuduhan Asyraf Wajdi bahawa setiap ahli Umno yang menyertai Bersatu dibayar dengan jumlah tertentu tidak dapat diterima sama sekali.

"Saya juga akan berbincang dengan parti mengenai kesesuaian mengambil tindakan undang-undang dalam hal ini,” katanya. 

Menurut Shahril Umno yakin jika Asyraf Wajdi disaman di mahkamah bekas timbalan menteri di Jabatan Perdana Menteri itu sedia mengemukakan bukti bagi menyokong dakwaannya.

Pada masa sama kata Shahril Umno tetap menghargai kesetiaan ahli parti di peringkat akar umbi yang kekal bersama mereka sama ada ketika susah mahu pun senang.

"Sebagai menzahirkan penghargaan tersebut, Umno mesti terus memperkukuh kekuatan sendiri supaya tidak boleh diperkotak-katikkan parti lain.

"Ada pihak yang akan sentiasa mahu melihat Umno lemah dan dilemahkan.

"Kita tak terkejut dengan senario itu sebaliknya terus mencari jalan memastikan parti ini menjadi pilihan utama rakyat Melayu dan Malaysia amnya," kata Shahril.

Ketika Umno kini giat menjalankan persidangan peringkat bahagian, katanya, parti iytu akan terus memberikan fokus kepada agenda yang memang dalam kawalan mereka dan bukannya sesuatu yang dipacu oleh agenda atau helah pihak lain.