Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Umno Gua Musang tolak kerjasama dengan Bersatu - Ku Li
Diterbitkan:  Jan 4, 2021 2:03 PM
Dikemaskini: 6:21 AM

Umno bahagian Gua Musang memutuskan untuk menolak sebarang kerjasama dengan Bersatu selepas mendengar pandangan dan suara akar umbi, kata anggota parlimennya, Tengku Razaleigh Hamzah.

Sebaliknya Razaleigh berkata Umno Gua Musang mahu parti itu memperkukuhkan kerjasama dengan PAS melalui Muafakat Nasional.

Bagaimanapun katanya, kerjasama dengan PAS juga perlu dikaji semula sekiranya parti itu tidak mengutamakan hubungan dengan Umno dalam Muafakat Nasional.

Menurut Razaleigh perkara itu diputuskan dalam mesyuarat perwakilan Umno bahagian Gua Musang yang diadakan pada Sabtu lalu.

Selain itu, Umno Gua Musang juga mendesak pilihan raya diadakan pada suku pertama tahun ini dan sekiranya gagal dilaksanakan, maka ahli parlimen Umno perlu menarik diri daripada kerajaan Perikatan Nasional (PN).

"Persoalan yang Umno hadapi kini ialah persoalan hidup mati, persoalan masa depan dan survival parti," kata Tengku Razaleigh dalam satu kenyataan.

Berikut keputusan dibuat mesyuarat perwakilan Umno bahagian Gua Musang:

1) Menolak sebarang kerjasama dengan Bersatu berdasarkan suara akar umbi ahli-ahli peringkat cawangan.

2) Mencadangkan supaya PRU diadakan dalam suku pertama 2021, bagi menyerahkan mandat kepada rakyat dan sekiranya PRU tidak dapat diadakan dalam masa terdekat, maka ahli parlimen Umno mestilah menarik sokongan kepada kerajaan Perikatan Nasional.

3) Mendesak Umno bertanding tidak kurang daripada jumlah kerusi parlimen dan negeri yang ditandingi dalam PRU ke-14 (dalam tahun 2018) yang lepas.

4) Mencadangkan supaya Umno bahagian diberi kuasa sepenuhnya untuk memilih dan menentukan calon Pilihan Raya Umum ke-15.

5) Mengukuhkan kerjasama antara Umno dan PAS melalui pengukuhan Muafakat Nasional. Kerjasama ini perlu dikaji semula sekiranya PAS tidak mengutamakan hubungan dengan Umno dalam Muafakat Nasional.

Razaleigh sebelum ini merupakan tokoh Umno yang lantang mempertikaikan sokongan Umno terhadap Perikatan Nasional.

Pada 17 Nov lalu Razaleigh menggesa Umno mengkaji semula kerjasama dengan Bersatu dan PAS kerana kedua-dua parti itu didakwa tidak memberikan sebarang manfaat kepada Umno.

Pada 24 Dis lalu, dia berkata Bersatu merupakan parti yang mencuri ramai ahli Umno.

"Tak boleh nak samakan BN dengan Bersatu. Bersatu wujud kerana curi orang dari Umno. Itu tak boleh kita ampun. Dari segi moral pun dah tak betul Bersatu ni.

"Kekuatan dia lahir daripada pencurian. Banyak orang duduk jadi menteri itu adalah orang yang dicuri daripada Umno," katanya.

Semalam Presiden Umno Ahmad Zahid Hamidi berkata sebanyak 143 daripada 191 bahagian Umno (74.8 peratus) enggan bekerjasama dengan Bersatu pada pilihan raya umum akan datang.

Lihat Komen
ADS