Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Batal HSR cerminkan kelemahan kerajaan - Khaled Nordin
Diterbitkan:  Jan 5, 2021 2:49 PM
Dikemaskini: 6:49 AM

Pembatalan Projek Kereta Api Berkelajuan Tinggi (HSR) Kuala Lumpur-Singapura  mencerminkan kelemahan pentadbiran dan proses membuat keputusan oleh kerajaan Perikatan Nasional.

Naib Presiden Umno, Khaled Nordin berkata kerajaan seperti tidak tahu apa yang sebenarnya ingin dimanfaatkan daripada kerjasama serantau dengan Singapura.

"Kerajaan Malaysia tidak dapat membuat keputusan yang tegas dan konsisten berhubung integrasi ekonomi rentas sempadan kedua-dua negara, malah memaparkan pendirian yang ‘flip flop’.

"Malaysia kini hilang peluang keemasan untuk merapatkan lagi hubungan antara kedua-dua bandar metropolis yang merupakan antara enjin ekonomi utama Asia Tenggara," katanya dalam hantaran di Facebook.

Kata Khaled pendirian tidak konsisten itu bertentangan dengan strategi yang diumumkan perdana menteri pada Jun lalu untuk meneruskan projek mega seperti projek HSR dalam usaha merancakkan ekonomi negara yang terjejas akibat wabak Covid-19.

"Akibat sikap tidak konsisten ini, projek HSR yang mendatangkan pelbagai manfaat ekonomi menjadi mangsa ketidakpastian," katanya lagi.

Sebelum ini, Ketua Pemuda Umno Johor, Mohd Hairi Mad Shah menyifatkan permbantalan HSR sama seperti "membunuh" ekonomi Johor.

Hairi berkata, projek HSR berupaya membantu pembangunan ekonomi terutama di tiga daerah di Johor, justeru menuntut kerajaan memberikan penjelasan terperinci mengenai pembatalan tersebut.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri Mustapa Mohamed mempertahankan langkah itu sebagai "penyelesaian terbaik" untuk Malaysia, di tengah-tengah kebimbangan mengenai kerugian jangka panjang.

Dalam wawancara dengan Astro Awani malam tadi, Mustapa sekali lagi menegaskan bahawa model asal projek itu, yang memerlukan tender dilakukan bersama dengan Singapura, terlalu mahal.

Kata Mustapa, model baru yang dicadangkan oleh Malaysia akan memberi pilihan kepada kerajaan untuk melantik kontraktor dan perunding tempatan.

Mustapa berkata demikian sebagai respons kepada Menteri Pengangkutan Singapura Ong Ye Kung, yang mengatakan sebab utama mengapa kedua-dua negara tidak dapat mencapai kata sepakat mengenai projek HSR adalah kerana Malaysia ingin menghapuskan syarikat aset (AssetsCo).

Mengenai spekulasi projek kereta api laju Kuala Lumpur-Johor Bahru menggantikan HSR, Mustapa berkata ia hanyalah spekulasi, dan kerajaan akan melaksanakan kajian terperinci untuk menentukan hala tuju seterusnya.

Lihat Komen
ADS