Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
PKPB gagal kurangkan kes, kadar kebolehjangkitan - Noor Hisham

Pelaksanaan perintah kawalan pergerakan bersyarat (PKPB) sejak 14 Oktober lalu telah gagal menjadikan penularan wabak Covid-19 ke tahap terkawal, menurut Ketua Pengarah Kesihatan Dr Noor Hisham Abdullah.

Sebaliknya kes baru harian serta kadar kebolehjangkitan (R0) menunjukkan peningkatan.

Keadaan ini malah menyebabkan sistem kesihatan negara di tahap genting dan Kementerian Kesihatan (KKM) kini menggunakan strategi berbeza.

Noor Hisham berkata KKM "sangat bimbang" melihat trend peningkatan kes Covid-19 pada masa ini.

"Kita bincang apakah tindakan-tindakan yang perlu dilaksanakan.

"Apa yang pasti tindakan atau strategi yang kita laksanakan pada 14 Oktober sehingga kini, walau kita dapat elak lonjakan mendadak kepada empat juta kes (seperti diunjurkan), tapi kita tak berjaya turunkan kes.

"Kadar R0 masih 1.1 dan meningkat kepada 1.2. Kita tak berjaya turunkannya kepada 0.5 (seperti diharapkan)," katanya ketika sidang media di Putrajaya hari ini.

Justeru, Noor Hisham berkata ada keperluan untuk mengkaji semula strategi pelaksanaan PKPB serta keputusan kerajaan bulan lalu untuk membenarkan perjalanan rentas daerah dan negeri.

Ketika itu, had bilangan penumpang dalam kenderaan juga ditarik semula.

Malaysia mencatat 2,593 kes baru hari ini - jumlah tertinggi sejak penularan wabak itu. Jumlah kes aktif buat masa ini ialah 24,347 kes.

Daripada jumlah kes baru itu, 47.4 peratus (1,230 kes) dilaporkan di Selangor dan Kuala Lumpur.

Noor Hisham menjangka jumlah kes baru akan terus meningkat.

"Kita jangka kes mungkin akan betambah lagi dalam seminggu dua ini, iaitu selepas (sambutan) tahun baru," katanya.

Lihat Komen
ADS