Malaysiakini
BERITA

SKMM perlu jelaskan dakwaan beli akaun Twitter peribadi - Syahredzan

Diterbitkan
Dikemaskini 13 Jan 2021, 7:34 pagi

Setiausaha politik Ahli Parlimen Iskandar Puteri, Syahredzan Johan meminta penjelasan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (SKMM) sekiranya benar akaun Twitter rasmi suruhanjaya itu diambil alih daripada akaun peribadi.

Ini selepas warga maya semalam mendedahkan beberapa ciapan daripada akaun Twitter rasmi suruhanjaya berkenaan yang bersifat lucah dan jelik.

Pada masa yang sama, Syahredzan berkata seorang pengguna media sosial yang menggunakan nama @NazruiHakim mendakwa akaun Twitter SKMM itu pada asalnya merupakan akaun peribadi miliknya.

Remaja berkenaan mendakwa akaun itu dijual beberapa tahun lepas ketika dia  mempunyai 50,000 pengikut.

"Adakah benar akaun @SKMM_MCMC itu diambil alih daripada akaun peribadi seperti yang didakwa?

"Sekiranya benar diambil alih, apa keperluan @SKMM_MCMC mengambil alih suatu akaun peribadi?"soal Syahredzan dalam satu kenyataan hari ini.

Selain itu Syahredzan yang juga seorang peguam mempersoalkan sekiranya terdapat bayaran seperti didakwa.

"Adakah bayaran yang dikatakan oleh @NazruiHakim dibuat oleh SKMM dan berapa jumlah yang dibayar?

"Jika SKMM ada membuat bayaran, adakah ia melalui proses perolehan kerajaan yang betul dan telus?" soalnya.

SKMM semalam menggantung akaun @SKMM_MCMC buat sementara waktu selepas ciapan lama akaun itu yang bersifat lucah dan jelik dikongsi semula netizen.

Suruhanjaya itu bagaimanapun mendakwa akaun Twitternya ‘diceroboh oleh pihak yang tidak bertanggungjawab’.

"Akan tetapi, dakwaan ini tidak munasabah, kerana ciapan-ciapan lucah, sumbang, mengancam dan/atau jelik sifatnya itu dibuat beberapa tahun lepas.

"Sekiranya akaun tersebut diceroboh sekalipun, adalah mustahil untuk ‘back-date’ mana-mana ciapan," kata Syahredzan.

Mulai 15 Oktober 2020, Malaysiakini versi BM memperkenalkan sistem komen baru yang lebih baik.

Untuk berhubung secara telus dan bertanggungjawab dengan pengulas lain, pembaca BM kini perlu menjadi pelanggan berbayar. Anda dapat mengakses kandungan semua bahasa dan menulis komen di semua platform Malaysiakini.

Bersatu sokong media bebas.