Dengan penguatkuasaan perintah kawalan pergerakan (PKP) kali kedua di beberapa negeri dan wilayah persekutuan sejak 13 Jan lalu, kebanyakan waktu operasi perniagaan telah dipendekkan.
Dengan kerajaan kemudian mengumumkan beberapa pelonggaran dalam prosedur operasi standard (SOP), waku operasi restoran dan kedai makan masih dihadkan kepada pukul lapan malam sahaja.
Kebanyakan penghantar makanan dan pelanggan yang dihubungi Malaysiakini berharap pelonggaran itu dapat dilanjutkan kepada tempoh operasi tersebut, sekurang-kurangnya kepada pukul 10 malam.
Mereka menyifatkan lanjutan itu akan memberikan situasi menang-menang kepada semua pihak.
Penghantar Food Panda yang mahu dikenali sebagai Pak Tam, 40, berkata pendapatannya terjejas hampir RM100 sehari sejak empat hari pelaksanaan PKP.
“Kalau kedai tutup pukul lapan malam, biasanya pukul tujuh malam mereka sudah bersiap untuk tutup. Jadi jumlah penghantaran kami banyak berkurang," katanya.
Jika mula bekerja jam lapan pagi, dia berkata boleh membuat penghantaran sekitar 40 kali sehari. Selepas pelaksanaan PKP, jumlah itu kini kurang daripada 30 penghantaran. Dari segi pendapatan pula, dia berkata ia telah berkurang daripada RM250 kepada kira-kira RM180 sehari.
"Lanjutan ini bukan untuk keuntungan kami saja, tetapi pihak lain juga termasuk orang ramai. Kami harap boleh lanjutkan sehingga 10 malam," katanya.
Bagi seorang lagi penghantar Food Panda, Ganesh, dia perlu bekerja jauh lebih lama bagi mendapat pendapatan harian yang sama seperti sebelum ini.
“Dulu kita mungkin kerja enam jam (sehari), boleh elak panas. Jadi lepas PKP, kita ambil jadual dari lapan pagi sampai lapan malam, iaitu 12 jam.
"Mula pukul enam petang, pesanan sudah berlambak masuk," kata pemuda berusia 30 tahun ini yang tinggal di Johor Bahru, Johor.
Sudah tiga tahun menjadi penghantar makanan, Ganesh berkata pendapatan tidak akan begitu terjejas jika seseorang itu rajin untuk bekerja lebih lama.
"Tetapi bukantak terjejas langsung sebab sebelum ini boleh ambil pesanan sampai jam 12 tengah malam, sekarang sudah kurang empat jam," katanya.
Awal pagi pelanggan kurang
PKP telah dikuatkuasakan di lima negeri - Pulau Pinang, Selangor, Melaka, Johor dan Sabah - serta wilayah persekutuan Kuala Lumpur, Putrajaya dan Labuan. Kelantan akan turut dikenakan perintah sama bermula hari ini.
Bagi kawasan ini, restoran, trak makanan, gerai makanan, dan tempat makan lain hanya dibenarkan beroperasi pada jam enam pagi hingga lapan malam dan untuk perkhidmatan bawa pulang dan penghantaran sahaja.
Penghantar Grab Food, Faizal berkata meskipun dia mula bekerja lebih awal, iaitu pada jam lapan pagi, ia tidak banyak membantu memandangkan belum banyak pesanan pada masa itu.
"Kalau mula awal pagi pun pesanan kurang sebab tak ramai pelanggan yang pesan," kata pemuda berusia 24 tahun ini yang turut menyuarakan simpati kepada peniaga yang mula berniaga pada waktu petang.
Pendapat sama disuarakan Azmi, juga penghantar Grab Food. Sebagai pekerja separuh masa, dia tidak terlalu merasakan perubahan ketara tetapi berkata dia akan menjadi lebih sibuk bermula jam enam petang.
"Kalau boleh lanjutkan sehingga 10 malam. Bila tutup lapan malam, pesanan jadi terhad dan kami perlu berkejar untuk balik awal," katanya.
Beberapa pihak sudah menyuarakan tuntutan sama sebelum ini. Antaranya Persatuan Pengusaha Restoran Muslim Malaysia (Presma) yang mendakwa ada perniagaan anggotanya yang merosot 80 peratus sejak pelaksanaan PKP.
Persatuan Pengusaha Restoran India Malaysia (Primas) pula menyuarakan tuntutan sama dengan asas pelanggan tiada tempoh masa mencukupi untuk membeli makanan selepas waktu bekerja.
Pengurus projek yang hanya ingin dikenali sebagai Haniza, 29, sering menggunakan khidmat penghantaran makanan dan berharap kerajaan meneliti semula waktu operasi kedai makan dan restoran.
“Memandangkan makanan hanya boleh bawa balik, kenapa tidak boleh dilanjutkan sehingga 10 malam? Ia boleh kurangkan beban bagi kami yang bekerja sehingga lewat petang untuk membeli makanan.
“Pada masa sama boleh bantu kedai makan jana pendapatan,” katanya, sambil menambah berikutan waktu operasi yang dipendekkan, pesanannya pernah ditolak kerana restoran tidak sempat menyediakannya.
Tiada keperluan untuk PKP 2.0
Begitu juga dengan Ain, 25, yang berkata sudah empat kali pesanannya ditolak sejak 13 Januari lalu.
"Bila dapat tahu restoran buka sampai lapan malam saja, saya terus terfikir sempat atau tidak untuk beli makanan sebab waktu habis kerja pun tak menentu.
"Bagi yang penat pulang kerja, tentulah tak ada masa untuk masak sendiri," katanya yang bekerja sebagai kerani.
Dia juga berpandangan tiada keperluan lagi untuk memendekkan waktu operasi restoran seperti PKP kali pertama tahun lalu, apatah lagi kali ini kebanyakan sektor dibenarkan beroperasi.
"Sekarang bukan boleh makan di restoran pun, bungkus saja. Jadi tak ada masalah untuk buka sampai jam 10 atau 12 tengah malam. Rakyat sudah buktikan boleh ikut SOP," katanya lagi.
Eksekutif komunikasi korporat Nur Hanani, 29, juga merasakan tiada keperluan untuk mengehadkan waktu operasi kedai makan bagi PKP kali ini.
"Dulu masa PKP pertama mungkin boleh terima tapi sekarang kita sudah nampak kesannya. Ia tak masuk akal," katanya yang menggunakan khidmat penghantaran makanan hampir setiap hari.
Katanya, walaupun orang yang bekerja dari rumah boleh membuat pesanan lebih awal untuk malam malam, ramai yang tidak sempat berbuat demikian kerana kesibukan, selain ada juga yang bekerja di luar waktu biasa.
Dapatkan maklumat terkini dan perincian berkenaan penularan Covid-19 di Malaysia di laman penjejak ini.