Menteri Kanan (Kluster Keselamatan) Ismail Sabri Yaakob menjelaskan kenyatannya berkenaan arahan pengurusan pangsapuri agar penduduk membuat ujian Covid-19 tidak terpakai untuk warga tempatan.

Ismail berkata walaupun kerajaan mensyaratkan ujian saringan dibuat kepada penduduk, pihak pengurusan pangsapuri dibenarkan untuk membuat arahan itu terhadap penyewa warga asing.

"Ingin saya jelaskan dengan lebih lanjut, sebenarnya ia adalah berkaitan penyewa warga asing dan bukannya rakyat tempatan.

"Malah saya telah jelaskan bahawa tidak ada polisi daripada Majlis Keselamatan Negara (MKN) mengatakan sesiapa yang ingin masuk ke dalam kondominium atau mana-mana kawasan perumahan mesti dibuat ujian swab terlebih dahulu.

"Bagaimanapun, kerajaan tidak menghalang pihak pengurusan kondominium atau kawasan perumahan untuk membuat peraturan menjalankan ujian calitan Covid-19 terhadap warga asing bagi menjaga keselamatan penduduk di kawasan mereka," katanya dalam kenyataan hari ini.

Katanya, ini kerana pangsapuri adalah kawasan persendirian dan pengurusan boleh membuat peraturan dalam kawasan mereka, termasuk menyekat pelawat, tertakluk kepada undang-undang sedia ada.

Badan pengurusan beberapa pangsapuri sebelum ini dilaporkan mewajibkan penduduk menjalani ujian Covid-19.

Bagaimanapun, beberapa pakar berkata badan pengurusan tiada hak di sisi perundangan untuk berbuat demikian.

Langkah itu turut dikritik pakar kesihatan awam yang dihubungi Malaysiakini, yang mengatakan ia tidak membantu dalam mengekang penularan Covid-19.

Ahli Parlimen Segambut Hannah Yeoh turut membidas kenyataan Ismail, dan berkata ia tidak berasaskan kaedah saintifik.

"Covid-19 tiada diskriminasi - antara pemilik dan penyewa, warga Malaysia dan warga asing, rakyat dan menteri," katanya semalam.

Data menunjukkan daripada 4,094 kes baru yang dilaporkan semalam, hanya 764 (19 peratus) melibatkan warga asing. Majoritinya, iaitu 81 peratus, adalah rakyat Malaysia.

Data berkenaan jangkitan di kalangan warga asing untuk hari ini pula tidak dinyatakan.