Persatuan Pengguna Pulau Pinang membidas kenyataan Menteri Kanan (Kluster Keselamatan) Ismail Sabri Yaakob berkenaan pengurusan pangsapuri dan petempatan boleh mengarah penduduk warga asing membuat ujian Covid-19 dan menunjukkan keputusannya sebelum masuk ke premis.

Presiden CAP Mohideen Abdul Kader menyifatkan kenyataan yang menyasarkan warga asing itu sebagai tidak bijak.

"Ini kerana ia boleh mencetuskan xenofobia terhadap pekerja asing yang telah memberi sumbangan besar kepada ekonomi negara," katanya dalam kenyataan hari ini.

Menurutnya, tiada peruntukan dalam Akta Pengurusan Strata 2013 yang membolehkan badan pengurusan bersama (JMB) atau syarikat pengurusan melarang penduduk masuk ke rumah mereka jika gagal menunjukkan keputusan ujian.

Mohideen juga membangkitkan masalah yang berlaku di tempat tinggal pekerja asing termasuk di flat kos rendah.

"Jika Ismail merujuk warga asing yang bekerja di kilang dan ditempatkan di flat kos rendah, kerajaan yang harus bertanggungjawab kerana sebelum ini tidak menjamin tempat tinggal yang wajar kepada mereka.

"Oleh sebab itu majikan menempatkan mereka di flat yang sesak dengan tahap kebersihan yang rendah. Satu-satunya matlamat syarikat adalah keuntungan maksimum dan kerajaan tidak boleh lepas tangan," katanya lagi.

Kenyataan Ismail berkenaan perkara itu mencetuskan kritikan pakar dan beberapa ahli Parlimen pembangkang.

Badan pengurusan beberapa pangsapuri sebelum ini dilaporkan mewajibkan penduduk menjalani ujian Covid-19.

Bagaimanapun, beberapa pakar berkata badan pengurusan tiada hak di sisi perundangan untuk berbuat demikian. Pakar kesihatan awam juga menyifatkan ia tidak membantu mengekang penularan wabak.

Katanya lagi, masalah tempat tinggal pekerja asing sudah dilaporkan sekian lama, termasuk dalam laporan Ethical Trading Initiative pada 2019, tetapi ia tidak mengubah apa-apa.

"Sekarang kerajaan mengarahkan majikan untuk memastikan semua pekerja asing menjalani ujian Covid-19. Kami ingin bertanya sama ada keputusan ujian sebulan lalu masih sah atau mereka perlu membuatnya setiap dua minggu?"

Pekerja asing juga akan berdepan kesukaran jika perlu membayar sendiri ujian itu, katanya.

"Pekerja asing tidak boleh dijadikan kambing hitam untuk keadaan Covid-19 yang memburuk.

"Jelas keadaan hari ini berlaku selepas PRN Sabah pada September tahun lalu, dan ketika perjalanan rentas negeri dan daerah dibenarkan pada 7 Disember."

Katanya lagi, pihak berkuasa perlu mencari penyelesaian yang rasional bagi mengekang penularan wabak dan pada masa sama tidak memangsakan warga asing.

"Adakah mereka yang tidak dapat tunjuk keputusan ujian perlu tidur di jalanan, tanpa mengira dia telah dijangkiti atau tidak?" soalnya lagi.