Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Hotel jaja makanan RM3 untuk ‘tidak mati’
Diterbitkan:  Feb 3, 2021 12:35 PM
Dikemaskini: 4:35 AM

Berpakaian kemeja lengan panjang, pengurus hotel Jeffrey Lim berteriak "tiga ringgit, tiga ringgit" di tepi jalan seperti yang dilakukan peniaga pasar malam.

Sambil memegang plakat yang bertulis "RM3 sahaja", dia memberi isyarat kepada pejalan kaki dan kenderaan tentang jualan mereka.

Di luar Red Rock Hotel di sepanjang Jalan Macalister di Pulau Pinang, hotel yang dikendalikannya itu menyaksikan pekerjanya menyediakan makanan, seperti mana dilakukan oleh penjaja kecil.

Bagi Lim, dalam situasi terdesak ini dia tidak boleh berputus asa.

"Ini sebenarnya untuk menolong kakitangan, menolong hotel untuk bertahan pada masa Covid-19.

"Kami harus pertahankan hotel untuk meneruskan kelangsungan hidup. Kita tidak boleh bergantung lebih kerana tidak banyak untuk industri perhotelan dari kerajaan," katanya seperti dipetik Bernama.

Dengan sektor pelancongan terhenti sepenuhnya semasa perintah kawalan pergerakan (PKP) perniagaan hotel berdepan situasi suram.

Oleh itu, Lim berkata dia terpaksa menjual makanan kepada orang ramai untuk mengekalkan perniagaannya.

Antara menu yang dijual mereka termasuk nasi ayam, nasi itik, kuey teow goreng, mi udang dan nasi goreng.

Banyak hotel-hotel termasuk yang ternama telah terjejas ketika PKP ini.

Negara diletakkan di bawah PKP kedua pada 13 Jan setelah pilihan raya Sabah menyumbang kepada penularan wabak Covid-19 ke seluruh negara.

Tidak seperti PKP pertama, majoriti sektor ekonomi masih beroperasi, namun sektor perhotelan agak terkesan kerana kebanyakan orang hanya berada di kediaman mereka.

Dengan ekonomi yang sukar dan kewangan yang terbatas, kerajaan menolak penutupan ekonomi walaupun dalam keadaan terburuk.

Bagaimanapun, Putrajaya telah berjanji untuk melaksanakan prosedur operasi standard (SOP) yang lebih ketat dengan hukuman yang lebih tegas.


Lihat Komen
ADS