PKR: Dr M dan Pak Lah umpama serigala
Parti Keadilan Rakyat (PKR) menganggap bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad dan Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi sama sahaja dan mendakwa kedua-duanya adalah pemimpin kuku besi.
Parti Keadilan Rakyat (PKR) menganggap bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad dan Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi sama sahaja dan mendakwa kedua-duanya adalah pemimpin kuku besi.
Sehubungan itu, Timbalan Presiden parti itu, Dr Syed Husin Ali menyifatkan Dr Mahathir dan Abdullah umpama "serigala yang boleh mengganas".
"Serigala tetap serigala, walaupun warna bulunya lain sedikit dan rentak langkahnya berbeza sedikit," katanya ketika berucap merasmikan Kongres Nasional Angkatan Muda dan Wanita PKR di Pulau Pinang hari ini.
"Selagi Abdullah tidak membuktikan beliau akan melakukan perubahan yang dijanjikan semasa pilihanraya umum dulu, dan melaksanakan program reformasi tulen, tidak ada sebab beliau disokong," katanya lagi.
Kerana itulah, katanya, PKR sudah membuat keputusan tidak menyokong sama ada Dr Mahathir atau Abdullah serta rancangan-rancangan mereka yang tidak menguntungkan negara dan merugikan rakyat.
"Sebenarnya, tidak ada perbezaan di antara Mahathir dengan Abdullah. Mungkin stail pemerintahan mereka berbeza sedikit. Tetapi pada asasnya dasar dan amalan mereka sama saja. Kedua-dua mereka mengamalkan dasar pemerintahan yang mirip "kuku besi."
"Mereka serupa saja menggunakan undang-undang zalim dan menyekat kebebasan media. Mahathir menggunakan ISA dan Abdullah meneruskannya untuk menahan dan melanjutkan penahanan ramai yang dituduh mengancam keselamatan, tetapi tidak pernah dibuktikan kesalahan mereka dalam mahkamah terbuka.
Ruang pembangkang
"Penguasaan Mahathir terhadap media dan polis, yang tidak memberi ruang kepada pembangkang, dilanjutkan oleh Abdullah, kadang-kadang dengan lebih ketat lagi," tegasnya.
Menurut Syed Husin lagi, Dr Mahathir tidak boleh disokong atau diterima semula pimpinannya, "melainkan beliau meminta ampun kepada rakyat dan daripada Allah kerana segala kezaliman dan korupsi yang dilakukan olehnya dan kroni-kroninya".
Sambil menyifatkan Abdullah tidak ubah seperti Dr Mahathir, beliau berkata, PKR tiada pilihan antara kedua-dua pemimpin itu dan oleh itu semua ahli PKR perlu terus meneroka jalan sendiri untuk menjana perubahan yang dirancangkan.
"Kita harus berusaha melaksanakan matlamat serta tunjang perjuangan kita untuk menegakkan keadilan, demokrasi, kebenaran, perpaduan dan ketelusan. Slogan kita ialah Keadilan Untuk Semua. Tindakan kita berlandaskan Kepedulian Terhadap Rakyat,"tambahnya.
Dr Syed Husin mendakwa, semasa pemerintahan Dr Mahathir, amalan korupsi dan kronisme meluas, lebih parah daripada sebelumnya dan Abdullah telah berjanji hendak memeranginya.
"Tetapi sepanjang dua tahun ini, Abdullah berjaya membuktikan kegagalannya. Beliau mengikut jejak Mahathir, dan meneruskan banyak penyelewengan dalam pemerintahan yang dimulakan oleh Mahathir," tegasnya.
Cari boneka
Timbalan Presiden PKR itu juga mendakwa Dr Mahathir sebenarnya mahu menjatuhkan Abdullah dan melantik Perdana Menteri baru yang sanggup menjadi bonekanya.
Katanya, dakwaan Dr Mahathir beliau tidak berhajat untuk menjatuhkan Abdullah dan sekadar mahukan penjelasan bagi beberapa soalannya termasuk isu jambatan bengkok, hanya satu helah sahaja.
"Saya lihat tujuan asal Mahathir memang hendak menjatuhkan Abdullah. Beliau terlepas cakap dalam ucapannya di hadapan mahasiswa Universiti Petronas. Mengapa Mahathir mahu menggulingkan Abullah?"
Pertama, katanya, kerana Dr Mahathir sangat takut menghadapi mahkamah, kerana beberapa kes, seperti yang berkaitan dengan Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Tan Sri Tajudin Ramli "akan membuka segala pekung dan tokaknya yang selama ini berjaya disembunyikan."
"Dia mahukan seorang PM yang boleh menguasai kehakiman untuk menyebelahi kepentingannya. Abdullah tidak boleh menjamin perkara ini boleh berlaku. Sudah terbukti, di bawah Abdullah mahkamah merasa berani membebaskan Anwar."
Kedua, Mahathir mahu memastikan segala warisannya, terutama dalam bidang politik dan pembangunan tidak akan pudar semasa hidupnya lagi.
Mungkir janji
"Daripada tuduhan Mahathir, kita dapat membaca Abdullah berjanji hendak mempertahan dan melanjutkan apa yang dimulakan oleh Mahathir. Sekarang dia dituduh memungkiri janji.
"Sebenarnya, Abdullah bertindak demikian bukan untuk membuat perubahan besar, tetapi untuk melindungi kepentingan politik dan ekonomi sendiri dan kroni serta keluarganya.
"Mahathir hendakkan seorang PM yang boleh didalanginya. Harapan asalnya kepada Timbalan Perdana Menteri (Datuk Seri) Najib Razak mengecewakan. Sekarang Mahathir tiada calon. Beliau sudah tentu tidak boleh mengemukakan diri sendiri. Jadi, adakah dalam desperasi beliau akan mengutarakan mana saja katak yang sedia melompat untuknya?
"Atau adakah beliau akan memikirkan Tengku Razaleigh (Hamzah) yang mungkin menunggu di pinggiran? Malangnya, Mahathir tahu peluang beliau menang sekarang ini agak tipis, melainkan ada sesuatu yang ajaib berlaku,"tambah Syed Hussin.
Kongres Nasional PKR ini berlangsung selama tiga hari. Ia akan dirasmikan oleh Presidennya, Datin Seri Dr Wan Azizah Ismail esok.


Are you sure you want to delete this comment?
This action cannot be undone.