Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
MP pembangkang minta penjelasan mengenai peruntukan RM100k

Tidak ada garis panduan jelas dikeluarkan setakat ini mengenai peruntukan sebanyak RM100,000 yang telah diluluskan kepada ahli parlimen pembangkang, kata Ahli Parlimen Lembah Pantai, Fahmi Fadzil.

Fahmi berkata, ahli parlimen perlu tahu apakah dana tersebut boleh digunakan untuk membantu secara terus pengundi yang terjejas akibat wabak Covid-19.

"Kami tidak diberikan perincian secara hitam putih.

"Jadi saya fikir ahli parlimen masih perlu diberi penerangan," katanya kepada Malaysiakini.

Fahmi berkata, ahli-ahli parlimen juga dimaklumkan bahawa peruntukan tersebut disimpan oleh Unit Penyelarasan Pelaksanaan (UPP) di bawah Jabatan Perdana Menteri.

"Awal minggu ini saya minta kakitangan saya untuk semak (dengan UPP), dan mereka mengatakan tiada peruntukan.

"Apabila (Presiden Umno Ahmad) Zahid (Hamidi) menyatakan dia terima (peruntukan) sama macam ahli parlimen pembangkang, kami kata kami tidak menerima apa-apa," kata pengarah komunikasi PKR itu.

"Kami menerimanya mungkin dalam 24 jam lalu.

"Saya tahu bahawa bila Zahid kata dia terima(peruntukan) sebanyak MP pembangkang, pada waktu tersebut tidak ada (peruntukan untuk MP pembangkang)," tegas Fahmi.

Sebelum ini, Zahid berkata dia hanya menerima peruntukan berjumlah RM100,000 yang menurutnya sama dengan jumlah yang diberikan kepada wakil rakyat pembangkang.

Sebaliknya, Zahid mendakwa rakan-rakannya dalam PN memperoleh peruntukan sehingga RM3.7 juta.

Anggota Parlimen Segambut, Hannah Yeoh semalam memaklumkan bahawa PN kini memperuntukkan sebanyak RM100,000 kepada ahli parlimen pembangkang ekoran pendedahan Zahid.

Ahli Parlimen Batu Kawan, Kasthuri Patto juga berkata sekiranya bukan kerana pendedahan Zahid, ahli parlimen pembangkang tidak tahu mengenai peruntukan sebanyak RM100,000 itu.

"Sekarang kami telah menerimanya tapi tak ada pekeliling memakumkan kami secara rasmi (mengenai garis panduan)," katanya.

Bagaimananapun Kasthuri berkata dia dimaklumkan bahawa peruntukan itu perlu disalurkan melalui NGO tempatan dan bukannya disalur terus kepada penduduk memerlukan.

"Anda tidak boleh contohnya, jika seseorang minta mesin jahit, beli saja secara langsung dan berikan kepada mereka. Mesti melalui NGO tempatan," tambahnya.

Di bawah pentadbiran kerajaan persekutuan, ahli parlimen kerajaan boleh memohon peruntukan sehingga RM3.5 juta setahun setiap seorang, manakala anggota parlimen pembangkang hanya boleh meminta RM100,000 setahun daripada kerajaan pusat.

Peruntukan RM3.5 juta ini dibahagikan kepada RM2 juta untuk tujuan pembangunan, manakala RM1.5 juta lagi untuk tujuan pemberian dan derma.

Ahli Parlimen Petaling Jaya Maria Chin Abdullah berkata semasa pentadbiran PH, peruntukan untuk ahli parlimen kerajaan boleh digunakan untuk empat kategori perbelanjaan - operasi, kebajikan, program dan infrastruktur.

Peruntukan berkenaan dibekukan sejak Februari tahun lalu apabila PN mengambil alih kerajaan persekutuan, diikuti oleh wabak Covid-19 sebulan kemudian yang menyaksikan ahli parlimen PH, yang kini menjadi pembangkang, memohon peruntukan untuk membantu pengundi mereka.

"Di bawah PN nampaknya RM100,000 hanya untuk perbelanjaan organisasi dan hanya boleh melalui NGO. Jumlah itu tidak boleh digunakan untuk perbelanjaan lain," kata Maria.

Berikutan permintaan ahli parlimen pembangkang, Perdana Menteri Muhyiddin Yassin dilapor meluluskan peruntukan sebanyak RM100,000 kepada ahli parlimen bukan kerajaan.

Pada Khamis lalu seramai 32 ahli parlimen dari Pakatan Harapan, PSB, Pejuang, Warisan dan Muda, bersama dengan ahli parlimen bebas Maszlee Malik mendesak Muhyiddin mencontohi kerajaan negeri PN diJohor dan Perak dalam memberikan peruntukan yang sama atau lebih besar kepada wakil rakyat pembangkang.

Kerajaan negeri Perak baru-baru ini memberikan peruntukan yang sama kepada anggota parlimen pembangkang, manakala kerajaan negeri Johor memberikan peruntukan tambahan RM50,000 secara 'one off' untuk semua kawasan DUN, termasuk kawasan pembangkang.

Lihat Komen
ADS