Ezam tetap lepas jawatan hujung tahun ini
Ketua Angkatan Muda Parti Keadilan Rakyat (PKR), Mohd Ezam Mohd Noor tetap akan melepaskan jawatannya tahun ini walaupun didesak oleh para perwakilan supaya menarik balik keputusannya itu.
Ketua Angkatan Muda Parti Keadilan Rakyat (PKR), Mohd Ezam Mohd Noor tetap akan melepaskan jawatannya tahun ini walaupun didesak oleh para perwakilan supaya menarik balik keputusannya itu.
Ezam berkata, sebagai reformis, ahli-ahli angkatan muda PKR tidak perlu bimbang terhadap keputusannya itu.
"Saya amat hargai dan hormati permintaan saudara, tetapi sebagai reformis, kita tak perlu takut pada perubahan. Tindakan saya adalah selari dengan prinsip kita untuk membuat perubahan. Saya mahu isu anak muda ditangani oleh anak muda. Kita kena progresif dan yakin pada orang muda.
"Selepas ini kita akan meminda perlembagaan untuk membenarkan hanya pemimpin beruumur 40 tahun ke bawah memimpin Angkatan Muda PKR," katanya dalam ucapan penggulangan di akhir kongreas nasional pergerakan itu di Pulau Pinang semalam.
Ezam berjanji akan memastikan barisan kepimpinan angkatan muda diwarisi oleh mereka yang berwibawa dan kerja kuat supaya pergerakan ini terus relevan.
Naib Ketua Angkatan Muda PKR, Shamsul Iskandar Md Akin dijangka dipilih menerajui pergerakan itu selepas Ezam secara rasmi melepaskan jawatan tersebut.
Ezam akan ke seluruh negara dalam tempoh beberapa bulan ini untuk menjelaskan kepada anggota parti keputusannya itu dan menyediakan barisan pelapis yang bertanggungjawab.
Dalam konvensyen nasional PKR tahun lalu, Ezam mengumumkan hasrat melepaskan jawatannya pada hujung tahun ini kerana mahu pergerakan itu dipimpin oleh orang muda, selaras dengan nama dan agenda perjuangannya.
Beberapa perwakilan Angkatan Muda PKR dalam perbahasan semalam menggesa Ezam menangguhkan pengundurannya, sekurang-kurangnya sehingga selesai pilihanraya umum akan datang.
'Peluang cerah'
Mengenai pilihanraya umum pula, Ezam yang kini menerajui badan bukan kerajaan (NGO), Gerakan Anti Korupsi (Gerak) menegaskan keyakinannya PKR mempunyai peluang cerah untuk menang dalam pilihanraya akan datang.
"Berdasarkan kejayaan parti pembangkang dalam pilihanraya negeri Sarawak yang mana seorang calon PKR turut menang di Padungan, Kuching dan perkembangan politik semasa, kita perlu menyiapkan persiapkan diri untuk mencapai kemenangan.
"Kalau di Sarawak yang cukup luas dan asing, PKR, boleh menang, tak ada sebab kita tak lakukan di sini," tambahnya.
Ezam berkata, apa yang perlu dilakukan oleh ahli-ahli PKR sekarang ialah menggunakan masa setahun ini untuk berkerja keras berkempen di peringkat akar umbi.
"Pilihanraya umum mungkin diadakan tahun depan, kita perlu berkerjaas dari sekarang ,menyampaikan maklumat kepada rakyat," tambahnya.
Dengan itu, Ezam mengarahkan semua Angkatan Muda PKR supaya membuka bilik gerakan atau "bilik perang" di bahagian masing-masing untuk menyiapkan diri menghadapi pilihanraya umum akan datang.
"Kita kena bersiap sedia untk bertempur kali ini. Kita mesti menang dalam pusingan kali ini," tegasnya.
Menurutnya lagi, perbalahan antara Tun Dr Mahathir Mohamad dan Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi sekarang mendedahkan pelbagai kepincangan kerajaan Barisan Nasional.
Isu Nalla
Sementara itu, Naib Ketua Angkatan Muda PKR, S Manikavasagam berjanji terus berjuang dalam parti itu bersama pemimpin baru kaum India dalam PKR, Datuk S Nallakaruppan.
"Saya akan tetap berjuang dengan Datuk Nalla kalau beliau ikhlas mahu berjuang bersama PKR," katanya.
"Saya tak pernah nak menghalang beliau atau sesiapa menyertai parti ini. Saya tak ada kuasa untuk halang sesiapa," katanya ketika menggulung perbahasan.
Sebelum ini, timbul kontroversi kononnya Manikavasagam tidak senang dengan kehadiran Nallakarupan, sahabat baik Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam parti tersebut.
Bulan lalu Nallakarupan yang pernah menjadi Timbalan Ketua pemuda MIC mengumumkan penyertaannya dalam PKR bersama 2,000 penyokong kaum India lain.
Manikavasagam berharap Nallakarupan akan memperjuangkan nasib kaum India sebagaimana yang dijanjikannya, termasuk mendedahkan segala kepincangan Presiden MIC, Datuk S Samy Vellu.
Datuk Nalla patut mendedahkan skandal yang berlaku dalam beberapa koperasi MIC seperti Koperasi Nesa dan urusniaga saham Telekom dalam Maika Holdings. Isu-isu inilah yang rakyat nak dengar,"tambahnya.
Manikavasagam memberi jaminan akan kekal dalam PKR walaupun setelah tamat tempohnya sebagai naib ketua pergerakan tersebut.
"PKR parti pertama saya dan saya ada setahun lagi untuk berjuan bersama Angkatan Muda PKR. Saya akan kekal bersama parti ini,"ujarnya.
Sementara itu Ahli Majlis Tertinggi PKR, R Sivarasa pula di dalam penggulungannya memuji Manikavasagam kerana ikhlas dan bersungguh-sungguh berjuang, bukan sahaja untuk kaum India tetapi kaum-kaum lain.
"Manikavasagam patut menjadi model kita, beliau bukan sahaja berjuang untuk kaum India tetapi kaum-kaum lain dalam pelbagai isu.
"Saya yakin kalau dalam setiap bahagian PKR kita ada dua sorang seperti Manikavasagam, kita boleh menang di kawasan berkenaan," tambahnya.


Are you sure you want to delete this comment?
This action cannot be undone.