PKR dedah kepincangan pilihanraya ke peringkat antarabangsa
Parti Keadilan Nasional (PKR) merancang untuk mendedahkan kepincangan yang didakwanya berlaku dalam proses pilihanraya di negara ini, ke peringkat antarabangsa sebagai salah satu usaha menekan kerajaan supaya berlaku lebih telus dan adil dalam pengendalian proses demokrasi di negara ini.
Parti Keadilan Nasional (PKR) merancang untuk mendedahkan kepincangan yang didakwanya berlaku dalam proses pilihanraya di negara ini, ke peringkat antarabangsa sebagai salah satu usaha menekan kerajaan supaya berlaku lebih telus dan adil dalam pengendalian proses demokrasi di negara ini.
Sehubungan itu, parti berkenaan akan mengedarkan satu laporan bertajuk Defisit Demokrasi di Malaysia: Satu Laporan Mengenai Pilihanraya Malaysia", kajian terperinci terhadap proses pilihanraya negara ini kepada semua pejabat kedutaan asing yang berpusat di Kuala Lumpur, agensi-agensi serta pertubuhan antarabangsa dan badan-badan NGO serta individu.
Presiden PKR, Datin Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail berkata, pihak berharap masyarakat antarabangsa tidak menerima mudah kemenangan Barisan Nasional (BN) yang didakwanya dicemari dengan amalan rasuah dan penipuan.
Katanya, laporan tersebut juga akan membuktikan bahawa kemenangan besar yang selalu diperolehi BN bukanlah berdasarkan sokongan rakyat tetapi menurutnya kerana penipuan yang ketara dalam pilihanraya.
Berucap merasmikan Konvensyen Nasional PKR di Pulau Pinang hari ini, beliau berkata, partinya juga akan merujuk dakwaan penyelewengan itu kepada Yang di-Pertuan Agong selaku Ketua Negara dan pelindung Perlembagaan Persekutuan.
"Kita akan memohon limpah kurnia Tuanku meneliti laporan tersebut dan melakukan usaha-usaha demi mengembalikan amalan demokrasi di dalam negara," ujarnya.
Hantar pada PM
Laporan tersebut juga telah hantar kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi pada 29 Jun 2006 untuk diteliti dan diambil tindakan segera.
"Kita mahu mengingatkan Perdana Menteri, sekiranya masalah ini berterusan, ia akan menjejaskan prinsip dan amalan demokrasi yang terjamin dalam Perlembagaan Persekutuan. Di Thailand, Pengerusi badan pilihanraya mereka yang didapati melakukan penipuan kini sedang dipenjara, setelah didapati bersalah," tegasnya.
Bagaimanapun, Dr Wan Azizah mendakwa, di Malaysia, mereka dilindungi oleh pemerintah.
Sehubungan itu, katanya, PKR menuntut Pengerusi dan Setiausaha Suruhanjaya Pilihanraya (SPR) meletakkan jawatan kerana didakwa gagal menjalankan tugas dengan jujur amanah dan bertanggungjawab.
"Saya juga berharap agar setiap makalah, maklumat dan data yang telah disediakan pimpinan tertinggi Parti dimanfaatkan oleh pimpinan di semua peringkat untuk mewujudkan kesedaran politik di kalangan rakyat, khususnya pengundi-pengundi, tentang keperluan reformasi dalam sistem pilihanraya di negara ini," katanya.
Menurutnya, PKR akan terus menerajui usaha mewujudkan kesedaran politik di kalangan rakyat, khususnya para pengundi tentang keperluan mendesak reformasi dalam sistem pilihanraya di Malaysia.
"Saya tegaskan di sini, PKR serius mewujudkan sistem pilihanraya yang adil. Justeru, kita bangga kerana menjadi satu-satunya parti di negara ini yang memiliki satu sistem perisian komputer yang canggih yang telah berjaya dibangunkan oleh Jawatankuasa Pilihan Raya Pusat untuk membaca data pilihanraya dan membuat analisis saintifik yang penting untuk parti," tegasnya.
Sistem SISMEP 12
Sistem tersebut, tambah Dr Wan Azizah dikenali sebagai SISMEP 12, atau Sistem Menang Pilihanraya Ke-12 berperanan membaca dan menganalisa data secara saintifik dan sistematik bagi tujuan merancang dan melaksanakan tindakan strategik bagi memenangi Pilihanraya umum akan ke-12.
Sistem perkomputeran ini berpotensi untuk membuat semakan tempat mengundi secara on-line dan mencetak slip semakan daftar pemilih bagi seseorang pemilih dalam sesuatu Bahagian Pilihanraya.
SISMEP 12 juga berupaya membersihkan daftar pengundi dan mengesan penyelewengan dan penipuan seperti pengundi hantu, pengundi yang telah meninggal dunia, pengundi yang terlalu tua berusia 90 sehingga 122 tahun, pengundi yang tidak mempunyai saluran, pengundi yang menggunakan alamat palsu dan pengundi yang tidak mempunyai kad pengenalan baru.
Dr Wan Azizah berkata, SISMEP 12 telah mengesan 223,950 pengundi di Selangor yang tidak mempunyai saluran. Ia juga berjaya mengesan di Pulau Pinang, Perak, Selangor, Wilayah Persekutuan dan Pahang, jumlah pengundi yang berumur 90 tahun hingga 122 tahun seramai hampir 18,000 orang dan jumlah pengundi yang tidak memiliki kad pengenalan baru hampir 50,000 orang.
SISMEP 12 juga mampu mengesan kaedah penyelewengan, misalnya jumlah kertas undi yang dikeluarkan tidak sama bagi sesuatu kawasan Parlimen dengan Dewan Undangan Negeri (DUN) yang terletak di bawah Parlimen berkenaan. Kewujudan "Daerah Mengundi Hantu" juga telah dikesan di Selangor.
"Keupayaan parti membina sistem ini telah memaksa Pengerusi SPR memberikan kenyataan seperti yang dilaporkan oleh sebuah akhbar Melayu pada 10 Ogos 2006 lalu.'
"Kita ingin menuntut jawapan yang jelas dari SPR, sekiranya tiada istilah "pengundi hantu" dalam daftar pemilih seperti yang didakwa oleh Pengerusi SPR, apakah istilah yang sesuai untuk pengundi yang meninggal dunia tetapi (nama) masih berada di dalam daftar pemilih dan apakah status pengundi Cina yang berada di dalam rumah Melayu yang tiada hubungan atau tidak dikenali oleh keluarga berkenaan," katanya.


Are you sure you want to delete this comment?
This action cannot be undone.