Paling Popular
Terkini
story images
story images
mk-logo
Berita
PAS WP bantah pembukaan sektor perjudian
Diterbitkan:  Feb 17, 2021 12:15 PM
Dikemaskini: 4:15 AM

PAS Wilayah Persekutuan (WP) akan menghantar nota bantahan bagi menghalang pembukaan sektor industri perjudian.

Pesuruhjaya PAS WP Azhar Yahya, yang mempersoalkan tindakan kerajaan Perikatan Nasional dalam membenarkan sektor terbabit beroperasi berkata tindakan berkenaan adalah sesuatu yang sukar difahami.

“Sukar untuk difahami mengapa dalam tempoh yang kritikal ini kerajaan boleh membenarkan kasino dan syarikat perjudian seperti Magnum 4D dapat beroperasi semula.

“Langkah membuka semula kasino walaupun terhad kepada ahli kumpulannya sahaja jelas tidak memberikan apa-apa manfaat kepada negara.

“Bahkan implikasi perjudian tidak kurang lebih sama dengan implikasi daripada arak yang membawa kepada kecelakaan sosial dalam masyarakat di negara ini,” katanya menerusi satu kenyataan hari ini.

Menurutnya, PAS WP, berharap kerajaan Perikatan Nasional yang turut dianggotai oleh parti tersebut mempertimbangkan semula kebenaran pembukaan sektor perjudian itu.

Terdahulu, syarikat pengendali kasino, Resort World Genting (Resort World), serta syarikat nombor ramalan, mengumumkan bahawa operasi mereka kembali seperti lazimnya selepas mendapat kebenaran daripada kerajaan.

Pengumuman itu dibuat Resort World bersama syarikat Sports Toto, Magnum Bhd dan Pan Malaysian Pools Sdn Bhd (Da Ma Cai) melalui media sosial serta laman sesawang masing-masing.

Untuk rekod melalui perintah kawalan pergerakan (PKP) 2.0 yang bermula 13 Jan lalu, syarikat terbabit tidak dibenarkan menjalankan aktiviti masing-masing.

Sementara itu, Azhar berkata kebenaran itu tidak sewajarnya diberikan kerana beranggapan, terdapat banyak lagi bantuan yang boleh dihulurkan kerajaan.

“Pada satu tangan, kita berusaha memperbanyakkan peluang pekerjaan bagi menggalakkan rakyat di negara ini berusaha.

“Namun, malangnya satu tangan yang lain pula seolah-olah membiarkan rakyat menyerahkan nasib dengan aktiviti perjudian,” katanya sambil menyoal jika kerajaan akan melonggarkan prosedur operasi standard (SOP) rentas negeri dan daerah bagi memenuhi kehendak pihak-pihak berkepentingan ini. 

Lihat Komen
ADS