Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
MP: Hentikan rundingan awam 'tak sah' mengenai tapak lupus sisa Lynas
Diterbitkan:  Feb 19, 2021 11:13 PM
Dikemaskini: 3:39 PM

Ahli Parlimen Kuantan, Fuziah Salleh telah meminta supaya dihentikan konsultasi awam mengenai kemudahan pelupusan sisa radioaktif Lynas (PDF).

PDF yang akan dibina ini merupakan sebahagian daripada tapak pelupusan sisa berjadual industri pelbagai kategori (MCISWDS) di tempat yang masih dikategorikan kawasan sensitif alam sekitar (ESA) Peringkat 1, katanya.

Kata Fuziah, bawah garis panduan Jabatan Perancangan Bandar dan Desa, kawasan ESA tidak boleh dibangunkan.

"Proses Konsultasi Awam berkaitan Kajian Impak Alam Sekitar keatas Tapak Pelupusan Kekal Sisa Buangan Radioaktif (PDF) Lynas tidak boleh diteruskan dan harus di hentikan segera, selagi kawasan tersebut masih belum bertukar status," katanya pada kenyataan hari ini.

Jelasnya lagi, mengubah status ESA itu sendiri memerlukan proses perundingan dan pendengaran awam sendiri, dan barulah kajian impak alam sekitar (EIA) dapat dijalankan.

MCISWDS dirancang dibina di kawasan hutan simpan kekal Bukit Kuantan.

Kemudahan pelupusan sisa radioaktif Lynas (PDF) akan menempati kawasan seluas 58.25 hektar atau 29 peratus dari keseluruhan tapak.

Sebelum ini syarikat nadir bumi dan kerajaan negeri Pahang menafikan PDF akan berada di kawasan tadahan air.

Bagaimanapun, laporan kajian kesan alam sekitar (EIA) bercanggah dengan kenyataan Lynas dan kerajaan negeri, serta mendapati PDF itu terletak di kawasan tadahan air Sungai Riau.

Lihat Komen
ADS