Malaysiakini
BERITA

Malaysiakini bayar denda hina mahkamah RM500,000

Diterbitkan
Dikemaskini 23 Feb 2021, 9:14 pagi

Malaysiakini selesai melunaskan denda RM500,000 yang dikenakan Mahkamah Persekutuan atas pertuduhan menghina mahkamah disebabkan komen yang ditinggalkan pembacanya.

Denda itu dibayar Ketua Pegawai Eksekutif Malaysiakini, Premesh Chandran, di Istana Kehakiman di Putrajaya pagi tadi.

Wang berkenaan dikumpulkan hasil sumbangan orang ramai dan jumlah keseluruhannya hampir RM250,000 melebihi had sasaran yang ditetapkan.

"Kami perlu mengucapkan terima kasih kepada pembaca dan penyokong kami atas sokongan dan sumbangan mereka yang tidak terkira kepada Malaysiakini sehingga kami dapat melunaskan denda ini dalam masa tiga hari.

“Ini merupakan jumlah wang yang besar namun kami sangat berbesar hati atas semua sokongan yang kami terima," kata Premesh kepada KiniTV.

"Kami sangat kagum kerana dalam masa lima jam kami dapat mengumpulkan RM500,000, dan sekarang ia lebih banyak apabila jumlahnya meningkat hampir RM750,000.

“Pembaca dan penyokong kami sangat bermurah hati terutama ketika pandemik Covid-19 melanda dan rakyat berdepan dengan kesulitan,” katanya lagi.

Portal berita itu melancarkan kutipan dana sejurus selepas Presiden Mahkamah Rayuan, Rohana Yusuf, menjatuhkan hukuman denda dengan jumlah dua kali ganda lebih tinggi daripada apa yang diminta Jabatan Peguam Negara iaitu RM200,000. 

Teruskan misi lapor berita adil

Pengumuman untuk menamatkan kutipan turut dibuat sebaik saja jumlah RM500,000 berjaya diraih dalam masa kurang dari lima jam.

Bagaimanapun, di sebalik pengumuman itu sumbangan terus disalurkan kepada Malaysiakini dengan jumlah keseluruhan sebanyak RM749,371 daripada 6,527 penderma.

Sebilangan besar daripada mereka merupakan penderma dengan sumbangan jumlah kecil iaitu 85 peratus daripadanya menyalurkan sumbangan antara RM20 hingga RM200.

Sementara itu 196 penderma menyumbang antara RM500 hingga RM1,000 setiap seorang, dan 129 individu lagi menyumbang lebih daripada RM1,000 setiap seorang.

Seramai 1,544 orang menyumbang antara RM10 dan RM20; manakala 1,477 lagi menyumbang antara RM50 hingga RM100. Untuk penyumbang dengan nilai di antara RM100 dan RM200 seramai 1,414 terlibat manakala 526 lagi menderma antara RM200 hingga RM500.

Baki 207 penderma lagi masing-masing menyumbang RM10.

Mengulas lanjut perkara itu, Premesh berkata sokongan itu mendorong Malaysiakini untuk meneruskan misinya melaporkan berita dengan adil, tepat, seimbang serta bertanggungjawab atas peranan yang diamanahkan.

"Kami mempunyai lebihan kira-kira RM250,000. Kami akan teliti apa yang wajar dilakukan dengan wang itu.

"Saya rasa para penderma memberikan sumbangan ini untuk menyokong media bebas dan mempertahankan media. Justeru kami akan melihat bagaimana wang ini dapat digunakan untuk mencapai matlamat tersebut," tambahnya.

Untuk rekod keputusan yang dikenakan ke atas Malaysiakini serta denda itu mengundang kecaman daripada pelbagai kumpulan pejuang kebebasan bersuara dan kebebasan akhbar, selain mendorong mereka mendesak agar undang-undang mengenainya dikaji semula.

[Baca berita asal]

Beri pendapat anda!

Jadi pelanggan Malaysiakini untuk menjadi pengulas berita. Anda dapat mengakses kandungan semua bahasa dan menulis komen di semua platform Malaysiakini.

Bersatu sokong media bebas.