Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Dana berkaitan 1MDB: Polis sahkan siasat suami Zeti
Diterbitkan:  Mar 3, 2021 6:19 PM
Dikemaskini: 1:04 PM

Polis mengesahkan sedang menyiasat suami bekas gabenor Bank Negara Malaysia (BNM) Zeti Akhtar Aziz, iaitu Tawfiq Ayman berhubung dakwaan berkaitan dana 1MDB.

Siasatan dibuat Jabatan Siasatan Jenayah Komersil PDRM mengikut Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil daripada Aktiviti Haram (AMLATFPUAA), menurut pengarah jabatan itu Zainuddin Yaacob.

"Jabatan Siasatan Jenayah Komersil mengesahkan siasatan masih dijalankan terhadap Tawfiq di bawah Seksyen 4(1)(a) AMLATFPUAA, berhubung penerimaan dana yang dikaitkan dengan 1MDB dalam akaun bank miliknya di Singapura.

"Memandangkan siasatan kes ini melibatkan keterangan di Malaysia dan juga di luar negara, PDRM sedang mengambil tindakan susulan di bawah Akta Bantuan Bersama Dalam Perkara Jenayah 2002 bagi mendapatkan keterangan yang berada di luar negara," kata Zainuddin dalam kenyataan hari ini.

Zainuddin juga menggesa orang ramai agar tidak membuat apa-apa kenyataan atau spekulasi, melalui mana-mana platform, sehingga siasatan polis selesai dan hasil siasatan dirujuk kepada Jabatan Peguam Negara.

Minggu lalu, The Edge melaporkan yang polis Singapura memberitahu Bank Negara mengenai transaksi mencurigakan berjumlah RM66 juta daripada ahli perniagaan yang sedang diburu, Low Taek Jho, kepada syarikat didakwa dimiliki oleh suami dan anak lelaki Zeti pada 2015.

Ketika itu, Zeti masih menjadi gabenor BNM.

Menurut laporan itu, dokumen yang dikongsikan CAD kepada pihak Malaysia menunjukkan akaun syarikat bernama Iron Rhapsody di bank UBS Singapura menerima AS$16.22 juta daripada syarikat atau akaun yang berkaitan dengan Jho Low.

Selain itu, CAD Singapura juga memaklumkan dua lagi transaksi dari Jho Low kepada Iron Rhapsody, yang dianggarkan berjumlah AS$567,000 pada 1 Jun 2009 dan AS$1.25 juta pada 18 Disember 2009.

Dakwaan terhadap suami dan dua anak lelaki Zeti berkaitan dana 1MDB mula muncul pada Disember tahun lalu.

Antara dakwaan yang timbul adalah sebahagian dana yang diterima Iron Rhapsody kemudiannya dipindah kepada Cutting Edge Industries Ltd, yang turut memiliki akaun di Bank UBS Singapura.

Terdapat perakuan bersumpah (SD) yang ditandatangani Tawfiq dan dua anak lelakinya Abdul Aziz dan Aliff Ayman pada 2009, yang mengesahkan mereka sebagai pemilik Cutting Edge Industries.

Zeti kemudian menafikan dakwaan itu dan menyifatkannya sebagai palsu dan berniat jahat, dan mereka tidak pernah menerima dana 1MDB.

Dia juga berkata telah memberi kerjasama penuh dan maklumat yang diperlukan oleh polis dan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

Katanya lagi, dia tidak dapat membuat kenyataan lanjut kerana berpotensi dipanggil sebagai saksi dalam perbicaraan membabitkan Najib yang sedang berlangsung di mahkamah.

Lihat Komen
ADS