Datuk Zahidi Zainul Abidin mengingatkan Pengerusi Perhubungan Umno Perlis, Datuk Shahidan Kassim supaya jangan melampaui bidang kuasanya untuk memecat beliau dari jawatan Timbalan Pengerusi Perhubungan Umno negeri itu.

"Datuk Shahidan (foto) jangan cuba mengambilalih bidangkuasa Presiden parti dan Majlis Tertinggi (MT). Kalaupun nak jadi Menteri Besar seumur hidup pun, Shahidan kena profesional," katanya.

Ketua Umno Padang Besar itu menegaskan demikian ketika diminta mengulas kenyataan Menteri Besar Perlis itu semalam yang mahu menggugurkannya dari jawatan Timbalan Pengerusi Perhubungan Umno negeri itu.

Zahidi (foto) rkata, Shahidan tidak mempunyai alasan kukuh untuk bertindak terhadapnya kerana beliau tidak melakukan sebarang kesalahan atau melanggar peraturan parti.

Shahidan memberitahu media di Kangar semalam mengenai hasratnya untuk melantik orang lain sebagai timbalannya badan perhubungan Umno negeri kerana Zahidi didakwanya sering tidak menghadiri mesyuarat badan tersebut sehingga sering bertindak bertentangan dengan keputusan mesyuarat.

Bagaimanapun, menurut Zahidi alasan Shahidan itu tidak wajar dan tidak berasas kerana beliau tidak pernah dijemput menghadiri mesyuarat badan perhubungan tersebut.

'Ketua boleh rasmi'

"Saya tidak dijemput, tiada surat memanggil saya untuk hadir mesyuarat, bagaimana Shahidan boleh kata saya tidak hadir mesyuarat," persoal beliau.

Shahidan (foto) dalam kenyataannya semalam turut mempersoalkan hak Zahidi merasmikan mesyuarat bahagian Umno Padang Besar kerana menurutnya hanya ahli MT atau menteri dari Umno sahaja yang dibenarkan berbuat demikian.

Bagaimanapun Zahidi menolak kenyataan Shahidan itu dengan menegaskan sebagai ketua bahagian beliau memang dibenarkan oleh MT untuk merasmikan mesyuarat bahagian yang diketuainya.

"Tidak menjadi kesalahan bagi saya merasmikan mesyuarat Umno bahagian Padang Besar kerana sebagai ketua bahagian saya berhak.

"Shahidan sepatutnya tahu keputusan MT yang membenarkan ketua bahagian, ahli-ahli MT termasuk semua naib, timbalan dan presiden parti merasmikan mesyuarat bahagian," ujarnya.

Zahidi berkata, Shahidan boleh menghubungi Setiausaha Aagung Umno, Datuk Radzi Sheikg Ahmad jika beliau masih keliru mengenai perkara itu.

Hak presiden

"Sebagai ketua perhubungan negeri, Shahidan sepatut tahu mengenai perkara ini. Janganlah cuba melanggar perlembagaan dan keputusan parti pula," tambah beliau.

Zahidi yang merupakan bekas ahli Exco kerajaan negeri Perlis merupakan antara beberapa orang tokoh Umno yang lantang menyokong Tun Dr Mahathir Mohamad dalam krisis bekas Perdana Menteri itu dengan Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi.

Beliau telah mengundang Dr Mahathir untuk berceramah di Padang Besar pada bulan lalu tetapi terpaksa membatalkan program tersebut apabila gagal mendapatkan premis untuk mengadakan majlis tersebut.

Sementara itu, Ketua Penerangan Umno Perlis, Datuk Azmi Khalid (foto) pula dilaporkan berkata, badan perhubungan Umno Perlis perlu berbincang terlebih dahulu dengan Presiden parti sebelum bertindak terhadap Zahidi.

Jelasnya, keputusan melantik Timbalan Pengerusi Perhubungan Umno negeri terletak di tangan Presiden parti.

"Presiden parti sahaja yang boleh membuat keputusan. Itulah amalan parti yang telah dipraktikkan sejak dulu," kata Menteri Sumber Asli dan Alam Sekitar itu di satu majlis di Wang Kelian dekat Padang Besar semalam.