Isu saudara baru: PAS Johor buat laporan polis
PAS telah membuat laporan polis semalam berhubung isu pembakaran mayat saudara baru, Allahyarham Rafie Syzwan Abdullah oleh kaum keluarganya di pusat pembakaran agama Hindu di Kulai, Johor pada 5 September lalu.
PAS telah membuat laporan polis semalam berhubung isu pembakaran mayat saudara baru, Allahyarham Rafie Syzwan Abdullah oleh kaum keluarganya di pusat pembakaran agama Hindu di Kulai, Johor pada 5 September lalu.
Laporan polis itu dibuat oleh Pesuruhjaya PAS Johor, Datuk Dr Mahfodz Muhammad di Balai Polis Sentral, Johor Bharu.
Ketua Dewan Pemuda PAS, Sallahuddin Ayob berkata, selain laporan polis itu, memorandam juga telah dihantar kepada Pengarah Jabatan Agama Islam Johor (JAIJ) minggu lalu.
"PAS mahu kes pengambilan dan pembakaran mayat Rafie yang disahkan dan diketahui umum keislamannya disiasat. Kita mahu pihak berkuasa menyiasat apa puncanya, siapa dan apa yang silap hingga berlaku perkara ini.
"Kita mahu mereka yang cuai hingga menyebabkan perkara ini berlaku dikenakan tindakan. PAS tidak mahu kesilapan yang sama berulang lain kali kerana isu ini amat sensitif," katanya ketika dihubungi malaysiakini hari ini.
Sallahuddin yang juga ahli Parlimen Kubang Krian telah membawa kes Rafie ini ke Dewan Rakyat Selasa lalu.Beliau meminta sidang dewan ditangguhkan bagi membincangkan isu pembakaran mayat saudara baru itu.
Bagaimanapun, Speaker Dewan Rakyat, Tan Sri Ramli Ngah Talib menolak permintaan Salahuddin itu atas alasan ia tidak perlu disegerakan.
Kenyataan rasmi
Mayat Rafie atau nama sebelum Islamnya, RR Mahendran telah dibakar oleh ahli keluarganya yang beragama Hindu di pusat pembakaran mayat, Jalan Kota Tinggi, Kulai pada 5 September.
Menurut Salahuddin, Rafie, 40, seorang peguam secara sah memeluk agama Islam lebih kurang lima tahun yang lalu.
"Kita dimaklumkan beliau telah mengisytiharkan secara terbuka memeluk agama Islam lima tahun yang lalu dan telah berkahwin dengan seorang saudara baru daripada Sarawak.
"Berdasarkan kepada kenyataan rasmi ramai kenalan rapat beliau, Rafie telah menjalani kehidupan sebagai seorang Muslim bersama keluarganya dan juga diketahui umum oleh keluarga asal yang beragama Hindu,"jelasnya.
Salahuddin mempersoalkan bagaimanakah urusan pengebumian Rafie yang sepatutnya diurus mengikut Islam boleh berakhir dengan pembakaran mayatnya mengikut amalan agama Hindu?
"Siapakah pihak yang bertanggungjawab ini?" tanya beliau lagi.
Sallehuddin juga menegaskan, tujuan PAS membangkitkan kes Rafie ini di Parlimen bukan mahu mewujudkan ketakutan atau ketegangan antara agama tetapi mahu mencari punca kepada masalah ini.
"Kita mensyaki ada unsur-unsur ugutan dan ancaman terhadap isteri allahyarham Rafie hingga menyebabkan mayat suaminya diambil dan dibakar mengikut cara Hindu,"ujarnya lagi.


Are you sure you want to delete this comment?
This action cannot be undone.