Deepak mohon perintah mahkamah halang 2 syarikat kendali 223 ekar tanah
Ahli perniagaan, Deepak Jaikishan meminta perintah interim daripada Mahkamah Rayuan bagi menghalang dua syarikat mengendalikan 223 ekar tanah yang dikaitkan dengan dakwaan konspirasi dan penipuan.
Pengusaha permaidani dan harta tanah itu mengemukakan notis usul tersebut, dengan menyasarkan Boustead Holdings Berhad dan anak syarikatnya Bakti Wira Development Sdn Bhd, pada Jumaat lalu.
Usul tersebut dikemukakan berkaitan rayuannya untuk mengambil tindakan undang-undang bukan sahaja terhadap kedua-dua syarikat itu tetapi juga bekas perdana menteri Najib Razak dan isterinya Rosmah Mansor.
Pada 17 Julai tahun lalu, Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur membenarkan permohonan Najib, Rosmah dan kedua-dua syarikat tersebut untuk membatalkan saman sivil Deepak berhubung perjanjian tanah yang didakwa menyebabkan syarikatnya mengalami kerugian besar.
Deepak membuat rayuan berhubung keputusan Mahkamah Tinggi itu di Mahkamah Rayuan.
Menurut salinan notis usul yang dilihat oleh Malaysiakini, tanah tersebut dibahagikan kepada dua bidang tanah di Kapar dan sebidang tanah di Bukit Raja, Selangor.
Usul itu juga bertujuan menghalang Bakti Wira Development daripada melupuskan atau mengendalikan 16 juta saham dalam syarikat Astacanggih Sdn Bhd, sementara menunggu rayuan di Mahkamah Rayuan.
Deepak mendakwa perintah itu diperlukan kerana kebimbangan bahawa Bakti Wira Development mungkin melupuskan tanah atau saham tersebut.
Dakwaan itu katanya diperkuatkan dengan pengumuman Boustead pada 22 Mac tahun ini yang meminta lanjutan tempoh untuk mematuhi perjanjian bon bernilai RM2.5 bilion.
"Keprihatinan terhadap kedudukan kewangan responden ke-3 disokong oleh proses penggulungan yang dihadapi oleh anak syarikat responden ke-3 iaitu Bousted Naval Shipyard Sdn Bhd dan hutang tertunggak semasa responden ke-3 berjumlah RM5.4 bilion.
"Setakat pengetahuan saya, dalam beberapa bulan terkahir ini, responden ke-3 telah menjual aset anak syarikatnya.
"Oleh itu jika usul di sini tidak dibenarkan, ada kemungkinan tanah-tanah yang diperoleh mungkin akan dilupuskan oleh responden ke-3 melalui reponden ke-4 (Bakti Wira Development) dan/atau anak syarikat utamanyam," katanya.
Dia juga mendakwa Boustead Holdings dan Bakti Wira Development tidak akan mengalami kerugian jika perintah interim itu diberikan, dan sebaliknya dia akan mengalami ketidakadilan sekiranya usul itu ditolak.
Deepak memfailkan saman di Mahkamah Tinggi pada 12 Oktober 2018, dengan mendakwa mengalami kerugian akibat konspirasi, penipuan dan pengaruh yang tidak wajar oleh para responden dalam perjanjian tanah yang dikatakan menyebabkan kerugian besar kepada syarikatnya.
Deepak mendakwa selaku pengarah dan pemegang saham majoriti Astacanggih Sdn Bhd, dia telah menandatangani perjanjian tanah dengan pengarah dan pemegang saham majoriti Awan Megah (M) Sdn Bhd, iaitu Raja Ropiaah Raja Abdullah, atas tiga bahagian tanah tersebut.
Dia mendakwa deposit sebanyak RM13 juta dibayar oleh Astacanggih kepada Awan Megah dan bon tanah sebanyak RM72.5 juta dari Kuwait Finance House (M) Bhd telah diberikan kepada kerajaan Malaysia.
Namun, dia berpendapat Awan Megah enggan mengemukakan hak milik tanah asal untuk dipindahkan kepada Astacanggih.
Deepak mendakwa akibat konspirasi dan campur tangan Najib dan Rosmah, yang masing-masing dinamakan sebagai defendan pertama dan kedua, dia terpaksa menjual 80 peratus (16 juta unit) sahamnya dalam Astacanggih kepada Boustead Holdings melalui Bakti Wira Development.
Dia menuntut ganti rugi am sebanyak RM600 juta, ganti rugi teladan RM50 juta dan ganti rugi tambahan sebanyak RM26 juta.

